Home » Dakwaan inspektor rogol remaja: Tiada siapa kebal undang-undang, kata Azalina
Berita Dalam Negara Jenayah

Dakwaan inspektor rogol remaja: Tiada siapa kebal undang-undang, kata Azalina

Azalina Othman Said memandang serius dakwaan seorang inspektor merogol gadis berusia 16 tahun.

PETALING JAYA: Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said berkata, terdapat prosedur khusus untuk mengendalikan saksi kanak-kanak, susulan dakwaan seorang inspektor merogol gadis berusia 16 tahun.


“Saya memandang serius kes ini dan ingin tekankan terdapat prosedur spesifik untuk kendalikan saksi kanak-kanak, iaitu Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan Garis Panduan Khas untuk Mengendalikan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.


“Tiada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang,” katanya menerusi Twitter sambil berkongsi garis panduan itu.


Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang inspektor ditahan selepas seorang remaja membuat laporan mendakwa dirogol pegawai polis berusia 30-an itu ketika berada di pejabatnya di sebuah IPD di Kedah kira-kira 6.30 petang Rabu lalu.


Sumber dipetik akhbar itu berkata, mangsa pada mulanya dipanggil inspektor itu ke IPD untuk membantu siasatan kes rogol membabitkannya yang dikatakan dilakukan bapa tiri remaja terbabit.


Katanya, unit forensik polis yang menyiasat lokasi kejadian menemui beberapa kesan dipercayai air mani pada cadar serta sarung bantal dalam bilik itu.


Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan pegawai itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

EDITOR