Home » Rampas kuasa punca keruntuhan demokrasi – Majlis Belia Sabah
Berita Tempatan Politik

Rampas kuasa punca keruntuhan demokrasi – Majlis Belia Sabah

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan menyifatkan cubaan merampas kuasa daripada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebagai tidak bermoral dan melanggar norma demokrasi. - Facebook Abqaree Fawwaz Abekan

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) mengingatkan semua ahli politik di negeri itu agar tidak melanggar norma demokrasi yang diterima masyarakat bagi mengelakkan keruntuhan institusi demokrasi akibat kehilangan kepercayaan rakyat.


Menurut Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, meskipun tindakan mengumpul akuan bersumpah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibolehkan oleh perlembagaan, namun ia jelas bertentangan dengan moral masyarakat terutamanya anak muda yang ingin melihat kerajaan yang dipilih memerintah sehingga tamat penggal.


“Salah satu faktor keruntuhan demokrasi ialah apabila norma demokrasi yang dijunjung rakyat seperti pemilihan parti pemerintah melalui proses pilihan raya tidak lagi dihormati para ahli politik.


“Meskipun tiada klausa di dalam perlembagaan yang menghalang tindakan seperti mengumpul akuan bersumpah daripada ADUN untuk membentuk kerajaan, namun secara moralnya ia tidak diterima oleh orang awam terutamanya golongan belia di negeri ini”, Abqaree berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat bagi mengulas pergolakan politik yang sedang terjadi di sebalik tabir di negeri itu.


Tambahnya lagi, bukan sahaja perbuatan itu dicemuh oleh rakyat, malah ianya akan turut melembabkan pertumbuhan ekonomi dan melambatkan bantuan disalurkan kepada rakyat akibat rasa takut pelabur dan pembentangan semula belanjawan negeri sekiranya kerajaan bertukar.


“Saya risau akan persepsi golongan muda terhadap sistem demokrasi di negeri ini yang seolah-olah dimanipulasi demi kepentingan politik pihak tertentu. Ini akan menjauhkan anak muda daripada terlibat dalam politik pada masa hadapan kerana merasa mandat yang diberikan kepada kerajaan pada pilihan raya lalu tidak dihormati.


“Bermuhasabahlah. Mungkin pada mereka (ahli politik) ini suatu permainan. Bagi rakyat ini melibatkan kelangsungan hidup dan masa depan mereka. Sebahagian besar mereka menantikan polisi dan bantuan segera kerajaan untuk bangkit dari bencana ekonomi. Kembalilah kepada tujuan asal demokrasi, demi rakyat miskin di kawasan anda sendiri”, tambah Abqaree.

— Abdul Hafiz Mustadi

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment