Home » Pelancongan Sabah terima Anugerah Putra Aria Brands
Berita Tempatan Politik

Pelancongan Sabah terima Anugerah Putra Aria Brands

ANUGERAH: Noredah (tiga kiri) bersama Joniston (empat kanan) selepas menerima anugerah tersebut.

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menerima anugerah gangsa bagi kategori Pengangkutan, Perjalanan & Pelancongan pada Anugerah Putra Aria Brands 2022, baru-baru ini.

Sabah juga adalah satu-satunya destinasi yang dicalonkan pada majlis yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor tersebut. 


Anugerah itu dianjurkan oleh Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dan turut dilabelkan sebagai anugerah pilihan rakyat kerana ia dipilih melalui respon lebih 25,000 pengguna di Semenanjung dan Malaysia Timur.


Tinjauan itu dijalankan selama lapan minggu daripada September hingga November tahun lalu di mana pengguna akan menilai jenama berdasarkan pelbagai kriteria.


Terdapat 24 kategori yang dipertandingkan termasuk pelancongan, komunikasi, perbankan, pelaburan dan insurans, e-dagang, hiburan dan media.


Secara keseluruhan terdapat 36 jenama membawa pulang anugerah emas, 48 perak, manakala 52 memperoleh gangsa.


Antara penerima anugerah, malam itu ialah Shangri-La Hotels and Resorts, Firefly Airlines, New Straits Times, Berita Harian, Coca-Cola dan Asus.


Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman berkata, tahun ini pihaknya bermula dengan baik kerana menerima anugerah tersebut dan menjadi satu-satunya yang tercalon dalam kategori itu.


Katanya, anugerah itu adalah sebagai perangsang bagi imej jenama yang ditampilkan dan pastinya selari dengan usaha pelancongan Sabah.


Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan , Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment