Home » Usul tambahan bertentangan perlembagaan Umno, Ismail gesa ahli suara bantahan
Berita Dalam Negara Politik

Usul tambahan bertentangan perlembagaan Umno, Ismail gesa ahli suara bantahan

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata usul tambahan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan semasa PAU tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan parti.

PETALING JAYA: Ahli Umno yang tidak bersetuju dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 termasuk usul tambahan mengenai jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak dipertandingkan, berhak bersuara dan mengemukakan bantahan.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata, usul yang dikemukakan dan diluluskan semasa PAU itu tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan parti.


“Saya sebagai (AMT) sudah tentu tidak akan mengambil tindakan tetapi mana-mana ahli berhak berbuat demikian dan terserah kepada mereka.


“Bukan bawa ke mahkamah sebaliknya ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Keputusan parti tidak boleh dicabar di peringkat mahkamah kerana tertakluk kepada Seksyen 18C Akta Persatuan di mana keputusan membabitkan parti adalah muktamad,” katanya menurut Sinar Harian.


Menurutnya, pemilihan mesti dilakukan tiga tahun sekali atau sepanjang tempoh dibenarkan penangguhan sebagaimana disebut dengan jelas dalam perlembagaan parti.


“Walaupun PAU merupakan tertinggi dalam parti tetapi, apa dilakukan dalam PAU tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan parti.


“Seperti di Parlimen, walaupun kita boleh gubal akta tetapi ia tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika bertentangan ia tidak boleh dilaksanakan,” katanya.


Dalam pada itu, Ismail berkata, tindakan menyekat ahli bersuara akan mendapat respons tidak baik daripada golongan muda yang kritis.


“Tindakan menyekat itu jelas apabila wakil pelajar daripada kelab Umno luar negara yang memberi kritikan di Twitter telah dihalang berucap. Ini memberi tanggapan buruk dalam kalangan orang muda terutama melibatkan pelajar.


“Seolah-olah kita tidak boleh ditegur, kalau tidak akan dikenakan tindakan. Dalam parti sudah jelas, siapa tegur akan dipecat atau digantung,” katanya.


Sabtu lalu, PAU meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara.


Ini bermakna jawatan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya, Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan, pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment