Home » 21 ladang babi dijangkiti wabak ASF sehingga kini
Berita Am Berita Dalam Negara

21 ladang babi dijangkiti wabak ASF sehingga kini

KES jangkitan ASF masih membabitkan ladang-ladang di Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan (SPS) setakat semalam. FOTO Arkib NSTP

Georgetown: Tiga lagi ladang babi di Pulau Pinang merekodkan kes baharu jangkitan wabak demam babi Afrika (ASF) menjadikan jumlah keseluruhan ladang terkesan wabak itu kepada 21 setakat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata kes jangkitan ASF masih membabitkan ladang-ladang di Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan (SPS) setakat semalam.

“Kini wabak merebak menjadikan jumlah ladang yang terbabit kepada 21 berbanding 18 sebelum ini.

“Namun untuk mengatakan keadaan bertambah buruk tidak juga kerana terdapat ladang yang didapati negatif ASF hasil ujian saringan yang dilakukan. Jadi situasi ini akan dipantau secara berterusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kon Yeow memaklumkan setakat ini sebanyak 4,204 ekor babi dari empat ladang di SPS selesai dilupuskan sepenuhnya.

Beliau berkata pemilik ladang terbabit harus tampil terutamanya bagi tujuan permohonan pampasan yang akan diuruskan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Dalam dua tiga hari ini kita akan buat persiapan meneruskan usaha (pelupusan babi) jadi penternak perlu tampil kerana sudah diumumkan ada pakej pampasan.

“Jadi mereka perlu memaklumkan kepada JPV untuk mengesahkan bilangan ternakan yang dilupuskan baru boleh mengemukakan tuntutan.

“Lagipun ini wabak yang perlu dimaklumkan apabila berlaku dan ia turut termaktub di dalam akta dan wajib dilaporkan sekiranya terdapat kes jangkitan dalam ladang,” katanya.

Difahamkan nilai pampasan babi dewasa bernilai antara RM400 dan RM800 dengan penternak perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.

Khamis lalu media melaporkan sebanyak 18 ladang babi dengan jumlah 48,194 ekor babi terjejas akibat ASF di negeri ini.

Berdasarkan rekod, terdapat sejumlah 124 ladang ternakan babi beroperasi di Pulau Pinang iaitu sejumlah 64 di SPU, 52 di SPS, empat di SPT dan empat di bahagian Pulau melibatkan sejumlah 267,348 ekor babi.

hmetro

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment