Home » Hajiji umum bakal ketuai Parti Gagasan Rakyat Sabah
Berita Tempatan Politik

Hajiji umum bakal ketuai Parti Gagasan Rakyat Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS, Datu Hishamuddin Datu Hasim di Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS & Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Raia Hotel, Kota Kinabalu, di sini hari ini. Turut hadir, Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Star), Datuk Ellron Alfred Angin.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan mengetuai kepimpinan sebuah parti tempatan baharu yang dinamakan sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah atau nama singkatannya Gagasan Rakyat.

Beliau akan mengetuai parti berkenaan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini bagi meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan yang bernaung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Hajiji yang juga Pengerusi GRS menjelaskan, gabungan berkenaan menerima keahlian Gagasan Rakyat pada 9 Disember 2022 seterusnya mengekalkan keahlian sebanyak lima parti di bawah gabungan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar dengan sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS & Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Raia Hotel, Kota Kinabalu, di sini hari ini.

“Ini adalah parti sedia ada dan kita ambil alih saja. GRS telah menerima keahlian parti ini pada 9 Disember lalu,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di sini hari ini.


Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata, pihaknya akan menggerakkan perjuangan melalui Gagasan Rakyat selepas diterima masuk dalam GRS.


Dengan adanya Parti Gagasan Rakyat, beliau yakin tidak lagi timbul bermacam-macam isu terutama yang mempertikaikan kedudukannya sebagai Ketua Menteri.


“Yang penting saya dapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah,” katanya.


Selain Gagasan Rakyat, empat parti lain yang bernaung di bawah GRS adalah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).


Pada 10 Disember 2022, Hajiji bersama barisan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar dari parti berkenaan.


Mantan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah itu berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia terutama di Sabah, serta mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

— EDITOR