Home » Belum terlambat untuk Anwar betulkan kesilapan – Muhyiddin
Berita Dalam Negara Politik

Belum terlambat untuk Anwar betulkan kesilapan – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata Anwar Ibrahim masih mempunyai masa untuk membetulkan beberapa kesilapannya selepas hampir 100 hari memegang jawatan.

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata masih belum terlambat untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim membetulkan beberapa kesilapan selepas hampir 100 hari memegang jawatan itu.


Ia termasuk pelantikan anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangannya, kata bekas perdana menteri itu.


Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata Anwar harus menasihati Nurul Izzah supaya meletakkan jawatan, sambil menambah bahawa “pemimpin muda yang berbakat dan berkebolehan” sepertinya mempunyai potensi besar dalam politik.

Nurul Izzah telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan oleh bapanya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.


“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah,” katanya di Facebook.


Muhyiddin juga berkata, Anwar harus meletak jawatan sebagai menteri kewangan dan memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai perdana menteri memandangkan skandal 1MDB tercetus apabila perdana menteri pada masa itu, Najib Razak yang juga menteri kewangan.


Katanya, Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama.


Beliau juga menggesa Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi digugurkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri, dengan alasan kebimbangan perbicaraan rasuahnya akan mencemarkan imej negara.


“Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai timbalan perdana menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya? soalnya.


Kenyataan Muhyiddin dibuat beberapa jam selepas Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menggesa Anwar menarik balik pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangannya.


Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebelum ini menggesa Anwar supaya melepaskan Zahid daripada tugasnya sebagai timbalan perdana menteri memandangkan perbicaraan mahkamah yang sedang berjalan.

— FMT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment