Home » 12 buah rumah musnah dijilat api di Tawau
Berita Tempatan

12 buah rumah musnah dijilat api di Tawau

Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba

TAWAU: Sebanyak 12 buah rumah jenis tidak kekal musnah dalam satu kebakaran di sini tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Guru, Kampung Jawa Tawau pada kira-kira jam 12 tengah hari.

“Kita menerima panggilan melalui talian MERS999 pada jam 12.38 tengah hari dan seterusnya menghantar sepasukan 20 anggota diketuai Komander Operasi, PPgB Rastam Keladi, dilengkapi dua buah jentera, sebuah van EMRS, sebuah tanker dan kenderaan utiliti.

“Kita juga mendapat khidmat bantuan daripada Bomba Komuniti Kampung Titingan, Tawau dan agensi lain seperti PDRM, SESB dan Jabatan Air,” katanya.

Menurut Jemishin, kebakaran melibatkan 12 buah rumah jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan keseluruhan satu hektar atau 25×30 kaki setiap rumah. 

“Operasi dilaporkan terkawal pada jam 1.56 petang dan operasi pemadaman bara-abar api masih dijalankan,” jelasnya.

wartaoriental