Home » Warga tua perlu celik IT: Jonathan
Berita Tempatan Politik

Warga tua perlu celik IT: Jonathan

Ahli Parlimen Daerah Ranau, Datuk Jonathan Yasin

RANAU: Golongan warga emas di sini disaran agar mempelajari teknologi baharu seperti menggunakan telefon pintar dan komputer.

Ahli Parlimen Daerah Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, salah satu aspek penting mengapa warga tua perlu celik IT adalah untuk meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal mereka.

“Satu lagi faedah teknologi untuk warga emas ialah ia dapat membantu meningkatkan kemahiran kognisi dan ingatan.

“Terdapat beberapa ‘permainan otak’ dalam talian yang boleh membantu warga emas kekal tajam mental.

“Justeru, ahli keluarga terutama anak-anak perlu bekerjasama untuk membantu mereka mempelajari teknologi baharu seperti menggunakan telefon pintar dan computer,” kata beliau.

Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Program Santai Hari Warga Emas Klinik Kesihatan Kundasang 2023 anjuran bersama Kelab Warga Emas dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kundasang baru-baru ini.

Dalam program yang diadakan di Pentas Budaya Pekan Kundasang itu, teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda.

Beliau menambah bahawa warga emas yang berusia 60 tahun di negara kita merupakan warga emas yang sihat dan produktif dan masih boleh menyumbang kepada produktiviti negara.

“Saya sangat menyanjungi budi dan sumbangan bakti yang telah diberikan oleh warga emas di negara ini.

“Kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas.

“Kerajaan Malaysia telah bersetuju mengisytiharkan 1 Oktober setiap tahun Hari Warga Emas Kebangsaan namun ia tidak dapat dilaksanakan selama dua tahun disebabkan pandemik covid19. Oleh itu, program ini disambut awal pada bulan Februari tahun ini,” kata beliau.

Sementara itu, beliau ucapkan tahniah kepada AJK Penganjur kerana berjaya melaksanakan Program Santai Hari Warga Emas, iaitu sebuah program untuk meraikan warga emas di Mukim Kundasang tersebut.

“Program ini sememangnya sungguh bermakna terutama kepada semua ahli masyarakat di Mukim Kundasang dan juga Daerah Ranau.

“Semangat ini menunjukkan keikhlasan kita untuk menyokong apa sahaja aktiviti yang memberi peluang kepada golongan warga emas untuk meningkatkan dan mengekalkan tahap kecergasan mental dan fizikal, terutamanya penglibatan diri dalam aktiviti aktiviti sukan, rekreasi dan sosial.

“Selain itu, program ini boleh menjadi salah satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kepada warga emas Mukim Kundasang dan juga Daerah Ranau,” kata beliau.

Turut hadir, AJK Kelab warga emas, AJK Panel penasihat, Staf Kesihatan, pemimpin-pemimpin masyarakat, Agensi Kerajaan, ahli ahli kelab warga emas dan masyarakat setempat.

— Clarence Dol

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment