Home » MPS perlu penuhi kriteria untuk jadi Majlis Bandaraya -Joachim
Berita Tempatan Politik

MPS perlu penuhi kriteria untuk jadi Majlis Bandaraya -Joachim

Di Sidang Media sejurus menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli MPS, Joachim berharap Ahli Majlis yang baru dilantik bagi sesi 2023/2025 akan sama-sama mengatasi permasalahan di kawasan majlis dan memberi kerjasama yang baik kepada presiden serta MPS

SANDAKAN: Penaiktarafan Majlis Perbandaran Sandakan kepada Majlis Bandaraya tertakluk kepada beberapa kriteria sebelum ia dapat dilaksanakan.


Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Joachim Gunsalam (gambar), berkata permohonan naik taraf itu juga sudah lama diutarakan.


Bagaimanapun, katanya, sebelum pelaksanaan itu, beberapa perkara perlu diambil kira oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).


Antaranya, PBT perlu meliputi kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri yang mempunyai penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang.


Ia juga perlu mempunyai pendapatan dari sumber kewangan yang mapan dengan hasil tahunan tidak kurang dari RM100 juta.


Pada masa sama, isu yang dihadapi pihak majlis atau penduduk perlu dipenuhi dan berada pada tahap terbaik.


Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini, pada Isnin.


Turut hadir ialah Pembantu Menteri I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, Adun Telupid, Jonnybone J Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian itu, Datuk Jamili Nais dan Presiden Majlis Perbandaran yang baru, Henry Idol.


Seramai 24 Ahli Majlis daripada 25 ahli mengangkat sumpah pada majlis itu. Antaranya bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Karamunting, Datuk Charles Pang.


Joachim berharap Ahli Majlis yang baru dilantik bagi sesi 2023/2025 akan sama-sama mengatasi permasalahan di kawasan majlis dan memberi kerjasama yang baik kepada presiden serta MPS.


“Saya yakin kerjasama antara ahli majlis dan MPS akan dapat mengatasi masalah yang diutarakan penduduk di daerah ini,” jelasnya.
Sementara itu, Joachim turut melawat Terminal Bersepadu Sandakan di Batu 3, di sini.


Terminal itu telah siap sejak beberapa tahun lalu tetapi masih belum dapat digunakan kerana belum mempunyai sijil layak menduduki (OC).


“Kita akan melihat apa permasalahan di terminal ini dan meminta pihak MPS untuk memastikan ia dapat diduduki dengan selamat,” katanya.


Difahamkan, OC bangunan terminal itu akan diperolehi pada Jun tahun ini.

— Mardinah Jikur

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment