Home » Anwar bangga dengan pasukan SAR Malaysia di Turkiye
Berita Dalam Negara Politik

Anwar bangga dengan pasukan SAR Malaysia di Turkiye

Anwar berada di Turkiye bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa. - Foto BERNAMA

GAZIANTEP (TURKIYE): Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan bangga beliau dan rakyat Malaysia atas kecekapan serta tahap profesionalisme pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi, di sini.


Perdana Menteri berkata, pasukan SAR negara terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di Nurdagi telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan luar biasa yang boleh dibanggakan.

Anwar melihat dari dekat runtuhan bangunan kesan gempa bumi, ketika melakukan lawatan ke Pusat Operasi SMART di Nurdagi, hari ini. – FOTO BERNAMA

“Saya bangga sekali dengan pasukan kita yang telah menunjukkan keupayaan luar biasa, pengorbanan luar biasa.


“Gabenor dan wakil gabenor di sini (Nurdagi) turut menyatakan pasukan kita menunjukkan dedikasi yang luar biasa. Saya bagi pihak seluruh rakyat ingin mengucapkan penghargaan dan berdoa kepada Allah SWT, mudah-mudahan beban rakyat di sini diringankan dan kita (Malaysia) akan buat sedaya upaya untuk membantu,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kem pasukan SAR negara di Stadium Nurdagi, di sini, hari ini.

Anwar diberi penerangan oleh Safrizan (dua dari kiri) mengenai peralatan digunakan pasukan, ketika melawat Pusat Operasi SMART di Nurdagi, hari ini. – FOTO BERNAMA

Anwar memaklumkan hingga semalam, Malaysia berjaya mengumpul dana sebanyak RM30 juta untuk bantuan bencana di Turkiye, dan beliau akan berjumpa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi menyampaikan bantuan berkenaan berserta doa dan simpati rakyat Malaysia.


Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk melawat dan mendengar taklimat operasi pasukan SAR negara.


Beliau tiba di sini pada jam 9 pagi waktu tempatan (jam 2 petang waktu Malaysia) dengan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, dan disambut oleh Timbalan Komander Kontinjen SAR negara, Deputi Superintendan Safrizan Suhaini, serta Ketua Pasukan MAS-10, Abdul Manaf Che Isa.

Anwar melawat Pusat Operasi SMART di Nurdagi, hari ini. – FOTO BERNAMA

Anwar kemudian diberi taklimat ringkas pengoperasian pasukan SAR negara oleh Safrizan sebelum dibawa melihat peralatan dan kelengkapan SAR, serta dua anjing pengesan Frankie dan Denti yang dibawa ke sini.


Perdana Menteri kemudian turut berkesempatan memenuhi permintaan anggota pasukan SAR negara untuk duduk di atas padang bagi bergambar beramai-ramai sebagai pemangkin semangat, sekali gus menceriakan kem pasukan SAR negara.


Anwar dalam rangka lawatan mengejut ke Turkiye atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubungi meminta beliau ke Turkiye.


Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. Pada 11 Februari lalu, Anwar telah berhubung dengan Erdogan sejurus tiba dari lawatan rasmi di Bangkok, Thailand, bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.


Perdana Menteri telah menunjukkan komitmen serta solidariti kepada rakyat Turkiye dengan menghantar dua pasukan SMART, termasuk dua anjing pengesan (K9) dan membina Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia.


Setakat semalam, pasukan SAR negara telah mengeluarkan 47 mayat dan menyelamatkan lima sekeluarga.

— BERNAMA