Home » KKR agih peruntukan berperingkat baiki lampu jalan di Sandakan
Berita Tempatan Politik

KKR agih peruntukan berperingkat baiki lampu jalan di Sandakan

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong (gambar) mencadangkan agar lampu itu digantikan dengan lampu LED untuk membolehkan jalan lebih terang selain lebih tahan lama serta dapat mengurangkan kos penyelenggaraan lampu jalan oleh kerajaan.  

SANDAKAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengagihkan peruntukan secara berperingkat untuk membaiki lampu jalan usang di jalan persekutuan Sandakan, dan peruntukan fasa pertama ialah RM60,000, iaitu 9 peratus daripada peruntukan fasa pertama sebanyak RM550,000 untuk Sabah.

Menurut permohonan pembiayaan penyelenggaraan tahunan yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya Sandakan, ia memerlukan belanja RM500,000 untuk memulihkan dan menyelenggara sepenuhnya lampu jalan di seluruh daerah Sandakan yang meliputi 69.5 kilometer jalan persekutuan dengan 1,682 lampu jalan.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kepada ahli parlimen Sandakan, Vivian Wong, yang bertanya mengenai lampu jalan persekutuan di sini yang tidak dibaiki melebihi enam bulan, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Vivian berkata fasa pertama Kementerian Kerja Raya ini masih jauh daripada mencukupi.

“Justeru, saya akan berusaha untuk mendapat lebih banyak dana kepada jabatan berkaitan untuk kerja-kerja pembaikan lampu jalan itu.

“Pada masa yang sama, saya juga memahami pelbagai kekangan bagi peruntukan dana kerajaan di seluruh negara seperti yang dimaklumkan. 

“Bagaimanapun, kita akan terus berusaha dan membuat susulan kepada menteri untuk peringkat atau fasa peruntukan seterusnya,” tambahnya.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab yang sama, Vivian turut bertanya soalan tambahan kepada Timbalan Menteri mengenai lampu jalan di jalan persekutuan Sandakan, yang secara beransur-ansur malap dari hari ke hari.

Vivian mencadangkan agar lampu itu digantikan dengan lampu LED untuk membolehkan jalan lebih terang selain lebih tahan lama serta dapat mengurangkan kos penyelenggaraan lampu jalan oleh kerajaan.

 Dalam jawapan timbalan menteri, jelasnya, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada isu ini.Tetapi pada masa ini, kerana kekangan kewangan, ia hanya boleh mengekalkan keadaan semasa.

“Tetapi kita akan melakukan yang terbaik untuk memastikan keadaan lampu dan jalan di negara kita kekal dalam keadaan baik,” tambahnya.

Vivian menegaskan demi keselamatan pengguna jalan raya, beliau  akan terus mencari pendekatan terbaik menerusi penglibatan agensi kerajaan terlibat untuk memastikan lampu jalan di Sandakan berada pada tahap terbaik.

— EDITOR, DE