Home » Wan Saiful tiba di mahkamah, dijangka berdepan dakwaan kes Jana Wibawa
Berita Dalam Negara Politik

Wan Saiful tiba di mahkamah, dijangka berdepan dakwaan kes Jana Wibawa

Wan Saiful yang tiba kira-kira jam 8.45 pagi di pekarangan mahkamah disambut dan diiringi beberapa penyokong parti.

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, tiba di lobi kompleks mahkamah di sini, pagi ini, dijangka bagi menghadapi pertuduhan berhubung projek Projek Inisiatif Jana Wibawa (Jana Wibawa).

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor hadir dengan memakai sut hitam dan kemeja putih, dilihat memasuki lobi ke Mahkamah Sesyen Jenayah pada jam 8.45 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta individu dipercayai peguam.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilihat turut hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan moral kepada Wan Saiful.


Wan Saiful dan CEO sebuah syarikat dikenali sebagai Adam Radlan Adam Muhammad, dijangka didakwa pada pagi ini selepas ditahan berhubung kes projek Jana Wibawa.
Kedua-dua mereka ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, malam tadi.


Difahamkan sebelum itu, Wan Saiful yang juga bekas bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM. CEO yang juga bakal didakwa pula pernah ditahan reman bagi membantu siasatan projek Jana Wibawa.


Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata Kementerian Kewangan (MoF) mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.


Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.


Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengesahkan sudah dihubungi SPRM untuk membantu siasatan yang dijalankan agensi itu.


Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.


Untuk rekod, Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan bawah pentadbiran Muhyiddin bagi mempercepat pelaksanaan projek bertujuan merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik COVID-19, selain meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.


Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.

— Safeek Affendy Razali dan Faris Fuad