Home » “Yusof, James memang suka lompat parti” – Bung Moktar gesa SPRM siasat ADUN Sabah
Berita Tempatan Politik

“Yusof, James memang suka lompat parti” – Bung Moktar gesa SPRM siasat ADUN Sabah

Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa, individu-individu yang suka melompat parti itu didakwa menerima habuan dalam bentuk wang ringgit ataupun tawaran jawatan.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat Ahli-aAhli Dewan Negeri (ADUN) di Sabah termasuk lima daripada UMNO yang bertindak melompat parti.


Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, individu-individu yang suka melompat parti itu didakwa menerima habuan dalam bentuk wang ringgit ataupun tawaran jawatan.


Beliau menegaskan, perbuatan tersebut perlu dihentikan bagi memastikan kestabilan politik khususnya di Sabah.


“Saya minta pihak SPRM siasat mereka yang melompat ini sebab memalukan.


“Di Sabah terkenal dengan wakil rakyatnya yang suka lompat parti. Dia lompat bertanding memasang hasrat dan menang saja, dia akan cari mana ada peluang untuk melompat dan jadi menteri, pembantu menteri atau dapat satu, dua atau lima juta,” dakwa Bung Moktar ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.


Hari ini, lima ADUN UMNO Sabah mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


Mereka ialah Datuk Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya ( Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk James Ratib (Sugut) serta Datuk Hamid Awang (Balung).


Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga ADUN Lamag turut menyindir Yusof dan James dengan menggelar mereka sebagai individu gemar melompat parti.


Justeru, beliau tidak terkejut sekiranya satu hari nanti Gagasan Rakyat yang dipimpin oleh Hajiji hilang kuasa disebabkan oleh dua individu berkenaan.


“Seorang lagi ialah bekas Timbalan Speaker dulu iaitu Datuk Yusof… semua parti dia sudah singgah. Saya beri jaminan bahawa PGRS (Gagasan Rakyat) tidak hilang kuasa, ini dua orang ini akan melompat Hajiji,” katanya lagi.

— Hasimi Muhamad