Home » Belanjawan Persekutuan bukti komitmen kerajaan perpaduan mahu perkasa ekonomi rakyat
Berita Tempatan Politik

Belanjawan Persekutuan bukti komitmen kerajaan perpaduan mahu perkasa ekonomi rakyat

MENONTON: Hajiji ketika mengikuti pembentangan semula Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri. Turut hadir, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Belanjawan 2023 yang dibentangkan hari ini membuktikan komitmen kerajaan perpaduan peringkat persekutuan untuk memperbaiki kedudukan kewangan negara sekali gus mengambil perhatian kebajikan rakyat secara menyeluruh.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan 12 inisiatif dalam Belanjawan Malaysia Madani yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengikuti pembentangan semula Belanjawan 2023, hari ini.


“Kita mengalu-alukan peruntukan RM6.5 bilion kepada Sabah yang mana terdapat 3.1 peratus lebih banyak berbanding jumlah yang diperuntukan pada Belanjawan asal 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.


Katanya, sejumlah RM2.5 bilion lagi diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan projek kemudahan awam seperti jalan raya, lampu jalan, bekalan elektrik dan air.


“Kita juga mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan lebih 1,000 kilometer projek Pan Borneo Sabah-Sabah Sarawak Road Link dengan memperuntukan RM20 bilion,” katanya.


Hajiji turut mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memberikan kuasa penuh kepada Sabah dan Sarawak bagi projek pembangunan bernilai di bawah RM50 juta.


Berkaitan dengan komitmen Anwar untuk mempercepatkan pengupayaan golongan miskin tegar di negara ini melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) tahun ini, Hajiji berkata ia merupakan satu langkah baik dan pada masa sama berharap pelaksanaan IPR perlulah cekap agar mampu mencapai matlamatnya.


Hajiji juga mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri yang memperuntukan RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak yang melibatkan pembinaan kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di bandar sempadan Kalabakan.


“Namun begitu, Sabah juga akan terus mendesak untuk pembinaan kemudahan serupa di Bantul, Pensiangan,” katanya.


Ketua Menteri berbesar hati mengambil maklum penekanan kerajaan Persekutuan terhadap peningkatan keselamatan dengan tambahan 42 pos keselamatan di sempadan termasuk di kawasan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta lain-lain.

— Yap Siong Han