Home » Shahidan kecewa tiada peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang
Berita Dalam Negara Politik

Shahidan kecewa tiada peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang

Shahidan dan Wan Ahmad Fayhsal mendakwa tiada peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang diumum pada Belanjawan 2023 semalam.

Ahli Parlimen Arau berkata hak mereka dinafikan, berbeza amalan di luar negara yang menyediakan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira status.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mengkritik Belanjawan 2023 dibentangkan hari ini kerana didakwa tidak menyediakan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.

Shahidan berkata, beliau kecewa kerana hak mereka dinafikan, berbeza amalan di luar negara yang menyediakan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira status kerana ia akhirnya untuk kegunaan rakyat.

“Kami bukan minta duit poket, sebaliknya cuma minta duit rakyat diberi sama rata,” katanya ditemui di Dewan Rakyat selepas pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula mempersoalkan sama ada slogan kerajaan Malaysia Madani benar-benar memperjuangkan keadilan.

“Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) juga kata semua Ahli Parlimen akan dapat peruntukan yang sama, tiba-tiba tak sama pula,” katanya.

Anwar hari ini membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM388.1 bilion, dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan.

Belanjawan disemak semula itu lebih tinggi RM15.8 bilion daripada dokumen sama dibentangkan kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada Okt lalu.

Pentadbiran diterajui Ismail memperuntukkan dana sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.

Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani memorandum persefahaman menerima peruntukan RM3.5 juta dan RM300,000 untuk operasi pusat perkhidmatan.

Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang turut menandatangani perjanjian itu menerima peruntukan RM4 juta dan RM300,000 bagi penyelenggaraan pusat perkhidmatan.

Elill Easwaran