Home » JPSM naik taraf sijil beberapa program kemahiran
Berita Tempatan Politik

JPSM naik taraf sijil beberapa program kemahiran

Menurut Ariffin, naik taraf sijil adalah daripada tahap kemahiran biasa kepada sijil kompetensi elektrikal A1 dan PW2 yang diperlukan dalam pasaran tenaga kerja bidang itu di negara ini.

PAPAR – Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) akan menaiktaraf sijil beberapa program kemahiran di bawah kelolaannya bagi memenuhi keperluan pasaran industri.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ariffin Arif, berkata usaha itu membabitkan bidang teknikal iaitu tiga program elektrikal seperti pendawaian, pemasangan dan penyelenggaraan.


Menurutnya, naik taraf sijil adalah daripada tahap kemahiran biasa kepada sijil kompetensi elektrikal A1 dan PW2 yang diperlukan dalam pasaran tenaga kerja bidang itu di negara ini.


“Semua sijil ditauliahkan daripada Sijil Suruhanjaya Tenaga Malaysia (STM) sekaligus melahirkan belia berkemahiran yang berdaya saing.


“Inisiatif ini sudah pun dilaksanakan ketika ini dan saya turut mencadangkan beberapa lagi program dinaik taraf supaya dapat memberi peluang lebih luas kepada peserta Institut Latihan Teknik Perdagangan (ILTP).


“Mudah-mudahan, kita dapat menarik lebih ramai anak muda untuk menyertai program yang ditawarkan sekaligus melahirkan lebih ramai belia berkemahiran di Sabah,” katanya di program lawatan ke ILTP Kampus Papar di JPSM, di sini, pada Selasa. 


Hadir sama Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Harun Durabi dan Pengarah JPSM, Tianinun Iping.


Dalam perkembangan lain, Ariffin mengingatkan pencari pekerjaan khususnya golongan muda supaya melayari portal sahih yang disediakan kerajaan di bawah agensi berkaitan.


Beliau berkata, ia penting bagi mengelakkan mereka terjebak dengan sindiket penipuan agen pekerjaan tidak bertauliah yang berleluasa ketika ini.


“Sebaliknya, dapatkan sumber maklumat pekerjaan yang sahih daripada banyak portal pekerjaan disediakan agensi kerajaan seperti MYFutureJobs di bawah Perkeso atau Sabah Jobs Portal,” tegasnya.

— Iskandar Dzulkifli