Home » Hajiji ucap tahniah Kepada Dr Justin harumkan nama Sabah, Malaysia
Berita Tempatan Politik

Hajiji ucap tahniah Kepada Dr Justin harumkan nama Sabah, Malaysia

Hajiji berharap, pencapaian Dr Justin akan memberi motivasi kepada penyelidik lain khususnya anak Muda untuk terus cemerlang dalam pelbagai bidang.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengucapkan tahniah kepada Professor Dr Justin Sentian sebagai Sainstis yang pertama melaksanakan penyelidikan di Antartika.


Hajiji berbangga Dr. Justin yang berasal dari Ranau, turut berjaya mengharumkan nama Sabah dengan mengibarkan bendera negeri ini bersama-sama bendera negara sepanjang tempoh enam bulan penyelidikan yang diadakan bermula 15 Mac depan.


Penyelidikan akan berpusat di Professor Julio Escudero Base Station di Kepulauan King George, Antarctika.

MEMBANGGAKAN: Hajiji (kiri) menyerahkan bendera Sabah kepada Dr Justin.


“Ini merupakan saat bersejarah dan saya pasti semua rakyat Sabah dan Malaysia berbangga dengan Prof Dr Justin Sentian. 
“Kita mengucapkan selamat maju jaya untuk setiap usaha beliau,” katanya selepas menyerahkan benderan Sabah kepada Dr Justin di Menara Kinabalu, hari ini.


Saintis kutub dalam bidang atmosfera dari Fakulti Sains dan Sumber Alam Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu akan menjalankan penyelidikannya bertajuk ‘Tropospheric Ozone and Halocarbons Variations in the Antarctic Peninsula Under Extreme Weather Conditions’.


Dr Justin berkata, Antartika adalah lokasi tepat untuk mengadakan kajian terhadap perubahan iklim serta berkaitan. 


“Saya berharap, usaha ini akan memberi suntikan motivasi kepada penyelidik lain khususnya generasi muda di Sabah untuk terus cemerlang dalam pelbagai bidang khususnya Sains,” katanya.


Penyelidikan Dr Justin mendapat kerjasama daripada Santiago University, Chile dan mendapat suntikan geran dana daripada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) selama tiga tahun bermula 2023.


Penyelidikan kali ini bukan usaha pertama Dr Justin di Antartika, beliau pernah menghabiskan masa selama tiga bulan untuk program penyelidikan di lokasi terbabit pada 2018.


Penyelidikan beliau itu juga adalah bertujuan memperkasakan keupayaan pembangunan penyelidikan khususnya  dalam ‘atmospheric chemistry modeling, academic and scientific research networking’ diperingkat antarabangsa.


YPASM juga akan mengadakan majlis pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 19 Mac depan.

— Yap Siong Han