Home » Siapkan diri untuk mencegah jenayah syariah – Jahid
Berita Tempatan Politik

Siapkan diri untuk mencegah jenayah syariah – Jahid

Jahid (duduk, tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

TAMPARULI: Masyarakat khususnya di daerah ini digesa untuk mempersiapkan diri bagi mencegah aktiviti jenayah syariah yang semakin meningkat.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, terdapat tiga konsep penting bagi membentuk strategi pencegahan jenayah syariah yang lebih berkesan.


“Ini termasuklah menerusi kaedah pencegahan awal, kaedah pengawalan berdepan dengan jenayah dan kaedah pengurangan jenayah.


“Strategi pencegahan jenayah yang efektif memerlukan kesediaan dan keperihatinan masyarakat bagi memahami risiko jenayah, membangunkan rangka kerja serta pelan tindakan sebagai langkah awal pencegahan terhadap kes-kes jenayah.


“Selain itu, sikap keperhatinan masyarakat sekeliling terhadap jenayah syariah perlu dibentuk dari institusi kekeluargaan di rumah, kemudiannya kepada komuniti kejiranan dan seterusnya kepada semua masyarakat,” katanya ketika berucap sempena Program Dialog Cegah Jenayah Syariah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah peringkat Daerah Kecil Tamparuli dan Kiulu 2023 di sini, semalam.


Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, pihak berkuasa juga berperanan penting dalam memastikan penambahbaikan akta undang-undang yang sedia ada.


Justeru katanya, semua pihak diseru untuk berganding bahu bersama-sama menjayakan program seumpama itu, disamping pihak berkuasa perlu berkerjasama dengan masyarakat dalam memberikan nasihat dan menyusun strategi pencegahan jenayah syariah.


“Ini termasuklah memberi didikan dan kesedaran yang luas kepada semua lapisan masyarakat supaya mereka memahami prinsip-prinsip asas pencegahan jenayah syariah,” katanya.


Beliau juga mahu kempen-kempen kesedaran seumpamanya diperkasakan melalui badan masjid dan surau serta pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

— Yap Siong Han