Home » Bung Moktar tidak dicabar di Kinabatangan
Berita Tempatan Politik

Bung Moktar tidak dicabar di Kinabatangan

Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (duduk, tengah).

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menang tanpa bertanding, selepas pencalonan bagi mempertahan jawatan itu dalam pemilihan bulan ini tidak dicabar.


Bung Moktar mengetuai UMNO Kinabatangan sejak 1996 dan menjadi antara pemimpin terawal UMNO Sabah yang kekal bertahan hingga ke hari ini, selepas parti itu melebarkan sayap ke negeri ini pada 1990.


Selain jawatan Ketua UMNO Kinabatangan, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah turut mencalonkan diri bagi mempertahan kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sesi 2023 – 2026.


Selain Bung Moktar, enam lagi pemimpin UMNO Sabah turut menawarkan diri bertanding ahli MKT dengan empat daripadanya muka baharu.


Mereka ialah Timbalan Menteri Luar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin; Ketua UMNO Bahagian Beluran, Julie Sabran; Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk Mohd Asnol Ayub dan Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing.


Dua lagi ialah penyandang Ahli MKT iaitu Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.


“UMNO sebuah parti yang berbeza dengan parti yang lain sebab dilahirkan daripada sebuah perjuangan untuk pertama sekali memerdeka negara dan membebaskan rakyat daripada belenggu British.


“Parti yang lain ditubuhkan di jalan raya, ditubuhkan atas kuasa, sebab lompatan dan sebagainya.


“Jadi, saya minta ahli UMNO jangan tinggalkan UMNO sebab UMNO ini adalah parti yang mempunyai kelainan berbanding parti yang lain,” katanya.


Bung Moktar mengimbau kedudukan UMNO selepas kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kebanyakan pemimpinnya meninggalkan parti, termasuk di Sabah tetapi parti itu berjaya bangkit semula dan ia disifatkan sebagai keupayaan yang luar biasa.


“Demikian juga pada ketika apabila UMNO Sabah bukan lagi sebahagian daripada kerajaan, terlalu ramai yang meninggalkan UMNO,” katanya.

— Izwan Abdullah

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment