Home » Pelihara warisan budaya Dusun Tombonuo – James
Berita Tempatan Politik

Pelihara warisan budaya Dusun Tombonuo – James

James berkata, selain menjaga dan memelihara adat dan budaya, pendidikan anak-anak etnik Tombonuo juga perlu diberi perhatian kerana pendidikan merupakan aset penting dan mampu mengubah taraf hidup pada masa hadapan.

PAITAN: Masyarakat Dusun Tombonuo khususnya generasi muda digesa memelihara warisan budaya tradisi masyarakat agar tidak lenyap ditelan zaman.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, ini amat penting kerana tanpa disedari, warisan budaya tradisional kini berdepan ancaman kepupusan.

“Budaya tradisional merangkumi amalan dan cara hidup pelbagai kaum dan kaum di negeri ini termasuk bahasa ibunda, pakaian, makanan, adat resam, kesenian dan sebagainya.

“Ketamadunan sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni dan budayanya. Warisan budaya ini perlu dikekalkan kerana ia mempunyai identiti tersendiri.

“Budaya melambangkan identiti sesuatu bangsa. Justeru, untuk mengekalkan dan memelihara adat resam, budaya dan sebagainya, kesedaran berterusan perlu diterapkan dalam kehidupan seharian masyarakatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah (PBTS) di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Paitan, pada Ahad.

Sementara itu, James yang juga Adun Sugut memuji dan mengucapkan tahniah kepada persatuan itu terutama kepimpinan tertingginya yang diketuai Yang Dipertua, Ah Kian Ah Kiew.

“Sesungguhnya kejayaan persatuan ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, menunjukkan persatuan ini komited untuk memartabatkan etnik Tombonuo khususnya dalam menjaga dan memelihara adat, budaya dan sebagainya,” katanya.

Menurut James, selain menjaga dan memelihara adat dan budaya, pendidikan anak-anak etnik Tombonuo juga perlu diberi perhatian kerana pendidikan merupakan aset penting dan mampu mengubah taraf hidup pada masa hadapan.

“Isu kemiskinan luar bandar akan berterusan jika pendidikan tidak menjadi keutamaan dan sebab itu kita mesti memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang baik,” katanya.

Dari sudut pemerkasaan ekonomi, beliau menegaskan peluang dan potensi kawasan luar bandar perlu diterokai khususnya golongan belia bagi menjana pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

“Ini termasuk pertanian dan perniagaan lain yang sesuai di kawasan kita.

“Kerajaan melalui jabatan dan agensi sentiasa terbuka dan sedia membantu, bukan sahaja dari sudut kemahiran, malah bantuan kewangan bagi mereka yang benar-benar serius dan mematuhi terma dan syarat ditetapkan pihak berkenaan.

“Justeru, rebutlah peluang yang ada untuk menjana pendapatan dan meningkatkan lagi ekonomi dan pada masa sama mengubah taraf hidup diri dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, James menambah, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang stabil dan berada di landasan yang betul dalam memacu pembangunan di negeri ini selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan SMJ adalah kerajaan yang mampu menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi dan melaksanakan pembangunan adil antara bandar dan luar bandar.

“Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini, saya mengajak semua pucuk pimpinan PBTS untuk terus menghargai dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.Ini untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang lebih baik di negeri Sabah khususnya di kawasan luar bandar yang masih amat memerlukan pembangunan,” katanya.

Dalam program itu, James meluluskan sumbangan pembinaan Rumah Budaya Tombonuo di sini.

“Semoga sumbangan ini memberi impak yang bermanfaat kepada seluruh rakyat Tombonuo khususnya dalam menjaga dan memelihara adat budaya termasuk kebajikan dan pendidikan,” katanya.

— Clarence Dol

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment