Home » 43 rumah hangus, 200 penduduk tinggal sehelai sepinggang
Berita Tempatan

43 rumah hangus, 200 penduduk tinggal sehelai sepinggang

KUDAT: Lebih 200 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 43 rumah di Kampung Tanjung Kapur, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada 2.20 pagi itu.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum merebak ke kediaman lain.

Difahamkan, ketika kejadian kebanyakan penghuni sedang tidur dan gagal menyelamatkan harta benda masing-masing menyebabkan sebahagian besar penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.28 pagi, sebelum 21 anggota termasuk pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan Kota Marudu dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan 43 rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 202 meter persegi terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan dari jentera bomba dan sumber air diperoleh dari pili bomba berhampiran,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Kebakaran memusnahkan 43 kediaman di Kampung Tanjung Kapur, di sini, awal pagi tadi. – Foto ihsan Bomba
Kebakaran memusnahkan 43 kediaman di Kampung Tanjung Kapur, di sini, awal pagi tadi. – Foto ihsan Bomba

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 4.21 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.43 pagi dan sehingga kini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

— Berita Harian

About the author

admin

Add Comment

Click here to post a comment