Home » LDP zahir penghargaan kepada GRS
Berita Tempatan Politik

LDP zahir penghargaan kepada GRS

TERIMA KASIH: Chin (enam kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Masidi (tengah) sambil disaksikan para pemimpin LDP yang hadir.

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) menzahirkan penghargaan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana meluluskan permohonan mereka untuk menyertai gabungan berkenaan.


Presiden LDP Datuk Chin Su Phin berkata, pihaknya berterima kasih kepada Ahli Majlis Tertinggi GRS yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas keputusan sebulat suara mereka untuk menerima LDP secara rasminya ke dalam gabungan politik.


Katanya, GRS kini mempunyai tujuh Komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Maju Sabah (SAPP), LDP dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).


Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung GRS merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden LDP Datuk Yong Wui Chung, Setiausaha Agung Datuk Chin Shu Ying, Naib-naib Presiden Ng Tet Hau, David Ong dan Sim Fui, Bendahari Agung John Lee Tsun Vui, Ketua Penerangan Simon Chin, Setiausaha Penganjur Goh Soo Yee, Ketua Pergerakan Wanita Glenna Wong, Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Loong Kok Seng dan Ketua Pergerakan Generasi Baharu Nicholas Ban. 


Ketika kunjungan itu, pihak LDP turut membincangkan beberapa isu berkaitan kehidupan rakyat yang dilihat membimbangkan khususnya masalah bekalan air, projek empangan dan lebuh raya Pan Borneo yang diharapkan mampu diselesaikan kerajaan negeri.


Dalam pada itu, Chin turut menyeru kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sabah untuk melaksanakan pendekatan pembaharuan dan pemohonan lesen perniagaan secara atas talian.


Katanya, setiap PBT dan Majlis Daerah perlu mencontohi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam usaha berkenaan.


Menurutnya, usaha sedemikian bukan sahaja boleh menjimatkan sumber dan tenaga kerja, tetapi juga boleh mengelakkan daripada kesesakan pemohon di pejabat majlis daerah.
 

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment