Home » Pelaksanaan CSR bukan konsep bermusim – Suryady
Berita Tempatan Politik

Pelaksanaan CSR bukan konsep bermusim – Suryady

SUMBANGAN: Suryady (tengah) bersama wakil masjid dan madrasah yang menerima sumbangan CSR SESB.

TAWAU: Pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak seharusnya dijadikan amalan atau konsep yang bermusim, kata Pembantu Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.


Katanya, CSR juga tidak terhad kepada sumbangan kemanusiaan berbentuk wang ringgit dan harta benda tetapi ia merangkumi masa serta tenaga.


“Dalam kita berlumba-lumba melaksanakan pembangunan untuk negara dan negeri, pihak berkemampuan juga diingatkan supaya tidak melupakan masyarakat yang memerlukan.


“Masih ramai lagi masyarakat terpinggir dan hidup dalam keadaan yang susah serta memerlukan bantuan kita semua,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan CSR Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di sini semalam.


Menurutnya, kerajaan sangat mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan CSR di negeri ini.


“Komitmen ini sangat diperlukan bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan di seluruh negeri.


“Kita memberikan sokongan sepenuhnya ke atas sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk membangunkan CSR sebagai inisiatif membantu golongan susah di negeri ini,” katanya.


Suryady yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, usaha murni SESB ‘memberi semula kepada masyarakat’ dapat membantu mensejahterakan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum.


Selain itu, katanya, pelaksanaan program ini dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan syarikat berkaitan kerajaan dan korporat dengan masyarakat setempat serta meringankan beban kewangan golongan sasar.


“Kerajaan juga sentiasa mengambil berat dengan golongan yang kurang bernasib baik dalam memenuhi hasrat pembangunan negara.


“Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah dan mengambil inisiatif melaksanakan program -program bantuan kemasyarakatan secara holistik,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment