Home » Teruskan amal ibadah sepanjang Ramadan – Jahid
Berita Tempatan Politik

Teruskan amal ibadah sepanjang Ramadan – Jahid

Jahid menyampaikan sumbangan semasa menghadiri Program Ihya Ramadan, Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Fakir Miskin 3M/1444H, di Surau Kg Lapasan Laut Tenghilan.

TAMPARULI: Masyarakat Islam diseru untuk meneruskan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, sepanjang Ramadan Al Mubarak ini, masyarakat beragama Islam digalakkan menambah amal ibadah dan mengumpul pahala agar mendapat ganjaran berganda daripada Allah SWT.


“Amalan ibadah merupakan suatu perkara baik yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh semua umat manusia,” katanya.


Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Program Ihya Ramadan, Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Fakir Miskin Anjuran Kumpulan Yayasan Sabah (Zon Pantai Barat Selatan) Tahun 2023M/1444H, di Surau Kg Lapasan Laut Tenghilan.


Turut hadir Ketua Upko Cawangan Mengkabong yang mewakili Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Mohd Shazwan Elmey serta tetamu kehormat yang lain.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, melaksanakan amal ibadah yang diseru oleh Allah merangkumi semua amalan baik dan menjangkau semua amal soleh.


“Istiqamah dalam setiap amalan kita dan bersyukur atas segala nikmat yang kita perolehi sepanjang Ramadan.


“Apa-apa pun kebajikan yang kita mahu lakukan, seharusnya dibuat dengan ikhlas kerana Allah dan juga dengan hati yang khusyuk lagi tawaduk kepadaNya,” katanya.


Dalam pada itu, Jahid mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Sabah atas usaha mengadakan program bermanfaat berkenaan, yang pastinya dapat sedikit sebanyak membantu penduduk kampung tidak berkemampuan.


Selepas selesai acara rasmi dan penyampaian sumbangan beras kepada seramai lebih kurang 70 penerima juga dilaksanakan, kemudian para tetamu dijemput bersama-sama dalam Majlis Berbuka Puasa dan seterusnya Solat Maghrib berjemaah bersama penduduk kampung. 

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment