Home » Terus pupuk sikap toleransi, saling menerima walau berbeza kaum, agama dan fahaman
Berita Tempatan

Terus pupuk sikap toleransi, saling menerima walau berbeza kaum, agama dan fahaman

RANAU: Penduduk di daerah ini diingatkan agar terus memupuk sikap toleransi dan saling menerima antara satu sama lain walaupun berlainan kaum dan agama.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, nilai murni ini adalah sesuatu yang unik di Sabah dan jarang ditemukan di tempat lain.

“Di Sabah, khususnya di Ranau, kita dapat melihat masyarakat berbilang kaum, agama dan fahaman politik duduk semeja dan berbual seperti satu keluarga kerana itulah adat budaya yang kita warisi sejak turun temurun.

“Jadikan ini sebagai satu contoh yang boleh menjadi iktibar oleh masyarakat lain. Jangan kita terikut-ikut apa yang berlaku di tempat lain di mana fahaman ekstrem menjadikan mereka hidup dalam perbalahan sesama mereka. 

“Masyarakat di sini dapat melihat menjangkaui perbezaan antara satu sama lain dan hidup dalam suasana harmoni walaupun berlainan pendapat. Ini mesti kita pelihara dan wariskan kepada anak cucu kita,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di perkarangan Markas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Lohan Ulu di sini kelmarin.

Abidin turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada lebih 40 Pengerusi dan Ustaz masjid dan surau dalam DUN Paginatan.

Beliau berkata, sumbangan tersebut adalah bagi menghargai persahabatan di kalangan rakan-rakan komuniti Muslim di DUN tersebut.

Beliau turut berterima kasih atas kehadiran para perwakilan masjid dan surau di majlis itu dan mengambil peluang tersebut untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada rakan-rakan yang sedang berpuasa dan selamat manyambut Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi.

Turut hadir, Ketua Daerah Ranau, OKK Muhasip Haji Roman, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Paginatan, Hisyamuddin Harun, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Paginatan, Japili Sigal, Penyelaras merangkap Setiausaha STAR Paginatan, Juis Konsuling dan lain-lain.

wartaoriental