Home » SM St. Martin Tampasak Tambunan terima sumbangan
Berita Tempatan Politik

SM St. Martin Tampasak Tambunan terima sumbangan

SERAH: Victor (dua kanan) menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Janius (dua kiri).

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan memberikan jaminan akan mengutamakan kebajikan serta kesejahteraan pelajar di daerah berkenaan.


Ketua Penaja Gagasan Rakyat Tambunan Datuk Victor P. Paut berkata, kemudahan sekolah perlu lengkap agar membolehkan pelajar dapat belajar dengan selesa dalam suasana kondusif.


“Manakala, guru pula dapat melaksanakan sesi pembelajaran dengan penuh tumpuan dan ceria,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan dana kepada SM St. Martin Tampasak Tambunan, dipejabatnya di Kota Kinabalu, pada Isnin.


Sumbangan berkenaan berjumlah RM9,125 merangkumi pembelian 40 meja dan kerusi sekolah, tiga meja dan kerusi serta satu sofa untuk bilik unit Kaunseling (UBK).


Sumbangan berkenaan diterima oleh Pengetua SM St. Martin Tampasak Tambunan, Janius @Kow Rantisan.


Dalam pada itu, Victor juga menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM1,500 kepada atlet (pelajar) yang akan dihantar ke Ubezkistan bagi menyertai acara sukan luar negara. RM2,500 bantuan kewangan pula disumbangan untuk kejohanan sukan sekolah berkenaan pada masa akan datang.


Sumbangan kewangan berkenaan diterima oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM ST. Martin Tampasak Tambunan, Oliver Olang.


Victor berkata, sekolah berkenaan ketika ini memerlukan dana bagi menampung kos pembelian kelengkapan kelas, iaitu kerusi dan meja pelajar serta kemudahan untuk bilik UBK dan sebagainya.


“Saya difahamkan bahawa sekolah ini juga menerima pendaftaran kemasukan pelajar baharu yang agak ramai dan kelas yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah kapasiti terbabit.


“Justeru, saya tampil untuk membantu menyalurkan dana bagi meringankan bebanan yang dihadapi sekolah ini,” katanya.


Victor juga memuji komitmen para guru sekolah berkenaan yang telah berusaha mencari dana untuk keperluan prasarana sekolah.


“Saya dan Gagasan Rakyat Tambunan menyambut baik usaha ini bagi menyediakan prasarana sekolah yang baik untuk kebajikan pelajar.


“Sudah pasti, ini akan membantu sekolah ini ke arah pencapaian akademik pelajar yang cemerlang,” katanya.


Victor juga mengucapkan syabas kepada sekolah itu yang berjaya melahirkan atlet cemerlang sehingga berjaya terpilih menyertai kejohanan lebih besar di luar negara.


Semantara itu, Janius melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Victor di atas sumbangan yang diberikan.


Di majlis yang sama, Victor turut menyampaikan sumbangan kewangan RN2,000 kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Tambunan kepada Pengerusi Persatuan, Oliver Wilfred Win.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment