Home » KoperTambunan akan manfaatkan 23,000 ekar padang ragut
Berita Tempatan Politik

KoperTambunan akan manfaatkan 23,000 ekar padang ragut

SIMBOLIK: Jeffrey diiringi Sobitun dalam upacara Kaamatan Mukim Toboh.

TAMBUNAN: Koperasi Pembangunan Ekonomi Rakyat Tambunan (KoperTambunan) akan memanfaatkan 23,000 ekar padang ragut terbiar di beberapa kampung di sini.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, tanah berkenaan akan dibangunkan dengan tanaman kelapa komersil sebagai nilai tambah pembangunan ternakan penduduk.


Katanya, usaha yang memberi manfaat langsung kepada penduduk itu akan dikendali secara kerjasama diantara KoperTambunan dengan Malaysian Kuwait Investment Corporation (MKIC).


“KoperTambunan mewakili semua padang ragut ketika menandatangani perjanjian usahasama dengan MKIC,” katanya.


Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Toboh di sini pada Rabu.


Sementara itu, Jeffrey berkata daerah itu bakal memiliki pusat pengumpulan hasil pertanian KPD di Solibog untuk mengatasi masalah penduduk menjual hasil usaha tani.
Menurutnya, pusat pengumpulan itu dijangka dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.


“Jadi, hasil pertanian penduduk boleh dihantar terus ke pusat pengumpulan itu untuk dibeli secara tunai oleh KPD,” katanya.


Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Tambunan Sobitun Makajil dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Alexius Kiob.


Manakala, dalam meningkatkan penghasilan padi, Jeffrey mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk menaik taraf sistem pengairan di sini bagi menyelesaikan masalah saliran air ke sawah.


Berkaitan pembangunan, Jeffrey memaklumkan sebanyak RM968,000 telah dibelanjakan sepanjang 2022 untuk melaksanakan pelbagai kemudahan penduduk di Mukim Toboh.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment