Home » Kes seksual remaja di Kelantan membimbangkan – Ketua Polis
Berita Am Berita Dalam Negara

Kes seksual remaja di Kelantan membimbangkan – Ketua Polis

Walaupun berlaku penurunan kes jenayah seksual melibatkan remaja di negeri Kelantan, namun, gejala itu masih dianggap membimbangkan apatah lagi melibatkan golongan remaja dan bawah umur kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah).

PASIR MAS: Walaupun berlaku penurunan kes jenayah seksual melibatkan remaja di negeri Kelantan, namun, gejala itu masih dianggap membimbangkan apatah lagi melibatkan golongan remaja dan bawah umur.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, statistik Januari hingga September tahun ini merekodkan 145 kes seksual, menurun berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 166 kes di seluruh negeri itu.

Menurut beliau, sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini pula, sejumlah 71 kes rogol melibatkan remaja dilaporkan, 6 (kes liwat), 22 (kes cabul) dan 42 kes melibatkan Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak kanak (AKSTK). 

Untuk tempoh sama tahun lepas pula merekodkan 85 kes rogol, 22 (kes cabul), 7 (kes liwat) dan 36 (kes AKSTK).

Muhamad Zaki berkata, berdasarkan statistik itu juga daerah Kota Bharu mencatatkan kes tertinggi berbanding daerah lain di seluruh negeri.

“Jika dilihat daripada statistik kes ini ia sangat membimbangkan, namun perkara ini boleh kita halang. Kita boleh tutup ruang dan kita mesti buat sesuatu.

“Keluarga terutamanya perlu mempunyai cara untuk memantau anak-anak mereka, malah di pihak kita, panduan sentiasa diberikan kepada mereka bagi mengelakkan kes ini daripada berterusan berlaku,” katanya selepas Majlis Perasmian Taman Angkat AMANITA PDRM, di sini, hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, kes seumpama ini banyak berlaku di kalangan remaja dan ia perlu dielakkan kerana mereka tidak mengetahui bagaimana mereka telah terjebak dalam kes seumpama ini.

Katanya, dalam masa sama perlunya usaha daripada keluarga dan orang ramai untuk bersama-sama mengawal dan cuba mencegah kes jenayah seksual seperti ini daripada berlaku.

AWANI