Home » Proses penyelarasan pentadbiran daerah Membakut dijangka diselesaikan sepenuhnya tahun ini: Arifin
Berita Tempatan Politik

Proses penyelarasan pentadbiran daerah Membakut dijangka diselesaikan sepenuhnya tahun ini: Arifin

SIDANG MEDIA: Arifin berkata sesuatu kepada pemberita semasa ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Daerah Membakut.

MEMBAKUT: Proses penyelarasan pentadbiran daerah Membakut dijangka diselesaikan sepenuhnya tahun ini kata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Mengulas lanjut Arifin berkata, kawasan Membakut yang telah diwartakan sebagai sebuah daerah penuh pada bulan Mac tahun lalu kini sedang diselaraskan bagi memastikan ianya dapat diselesaikan sepenuhnya tahun ini.


Tambahnya lagi, ia bagi membolehkan kepentingan daerah baharu melibatkan gabungan kawasan Membakut dan Bongawan itu dapat diselaraskan di bawah satu pentadbiran.


“Membakut telah diwartakan sebagai sebuah daerah penuh pada bulan 30 Mac tahun lalu dan segala pentadbiran berkaitan seperti jawatan kuasa dan sebagainya akan diselesaikan pada tahun ini.


“Langkah seterusnya, kita akan mewujudkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Membakut, Majlis Daerah Membakut (MDM) serta jabatan dan agensi berkaitan lainnya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Daerah Membakut Bersama Agensi-Agensi Kerajaan Daerah Membakut, kelmarin.


Hadir sama Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki serta barisan kepimpinan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Membakut dan UPPM Bongawan.


Dalam perkembangan lain, Arifin memberitahu keputusan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pelajar sekolah akan diserahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa COVID-19 Negeri Sabah sama ada ianya diwajibkan semula, ekoran peningkatan kes.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, pihaknya yakin jawatankuasa terlibat akan membuat keputusan wajar dalam masa terdekat susulan peningkatan statistik COVID-19 dalam kalangan kluster pendidikan ketika ini.


“Kita serahkan kepada jawatankuasa khas terlibat yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joachim Gunsalam yang kemudiannya akan membawanya ke Mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.


“Saya yakin jika perkara ini ada keperluan mendesak, jawatankuasa sedia ada ini akan buat keputusan sewajarnya,” katanya.


Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan terdapat peningkatan kes COVID-19 serta bilangan kluster dari 26 Mac hingga 1 April lalu, susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment