Home » Bajet 2023 sia-sia kerana tak sempat lulus
Berita Dalam Negara

Bajet 2023 sia-sia kerana tak sempat lulus

“Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin."- Azmin Ali

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu hanya sia-sia apabila Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia juga membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas-pulas mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan bajet itu.

“Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata PN menegaskan supaya tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha mencerdaskan dan memulihkan ekonomi negara.

Ia termasuk menyediakan bantuan kewangan peniaga kecil bagi meneruskan aktiviti perniagaan, melanjutkan moratorium untuk tempoh yang lebih munasabah, mengawal inflasi serta terus berusaha mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Kerajaan PN telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang menyentuh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, orang bujang, majikan dan pekerja serta industri,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara pada suku tahun kedua 2022 sebanyak 8.9 peratus dan prestasi pelaburan serta perdagangan yang amat memberangsangkan adalah hasil langsung daripada Dasar Pelaburan Baharu negara yang diluluskan oleh Kerajaan PN pada April 2021.

Katanya, pada tahun 2021, hampir 300,000 peluang pekerjaan baharu dicipta dan sehingga suku kedua tahun 2022 telah melonjak kepada 539,000 peluang pekerjaan yang diberikan kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata dalam tempoh pentadbiran PN juga seluruh warga FELDA telah menikmati manfaat daripada penghapusan hutang yang ditanggung bertahun-tahun oleh peneroka.

Mengenai PRU15, Mohamed Azmin berkata PN bersiap siaga menyertainya.

Berita Bersatu

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment