KUALA LUMPUR: Pembangkang dicabar untuk membuktikan mereka mempunyai calon Perdana Menteri yang baharu seperti yang didakwa dengan mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) pada sidang Parlimen akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya itu akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Tak apalah kalau dia ada, masa Parlimen bawalah SD. Usul di Parlimen, tidak ada masalah.
“Ini tiap-tiap minggu dia jadi mengigau mingguan. Sebelum puasa, sebelum raya, sebelum selepas Raya Haji, sebelum Thaipusam, Tahun Barhau Cina… tunggulah.
“Tapi Insya-Allah kita Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang. Saya sangat yakin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang kononnya memiliki SD yang memberi sokongan majoriti kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjadi Perdana Menteri baharu.
Semalam, tular pula satu kenyataan media palsu kononnya mendakwa Pas menzahirkan sokongan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menjadi Perdana Menteri. Kenyataan berkenaan disahkan palsu oleh Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sebelum ini Perdana Menteri mengakui wujud komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya. Namun komplot itu katanya tidak berasas.
Add Comment