Home » Ramai kawan saya dah pergi – Air mata Yusof Haslam gugur
Berita Am Berita Dalam Negara Hiburan

Ramai kawan saya dah pergi – Air mata Yusof Haslam gugur

DATUK Yusof Haslam sebak dan tidak dapat menahan air mata semasa hadir memberi penghormatan terakhir semasa pengebumian jenazah Allahyarham Ridzuan Hashim, malam tadi.

HULU LANGAT – Pemergian Allahyarham Ridzuan Hashim menjentik hati, mengingatkan penerbit popular Datuk Yusuf Haslam bahawa semakin hari, semakin mendekatkan dirinya dengan kematian.

Berduka dengan kehilangan rakan seperjuangannya itu, Yusof, 69, kian menelan realiti kehidupan bahawa ramai rakan-rakannya sudah pergi menghadap Ilahi.

“Saya 69 tahun, arwah 62 tahun. Tapi, Allah lebih sayangkan dia. Saya doakan yang terbaik. Itu yang saya harapkan untuk arwah.

“Ramai rakan saya dah ‘pergi’. Allahyarham Latif Ibrahim, Zulkifli Zain dan Aman Shah. Satu demi satu pergi. Semua yang seangkatan dengan saya.

“Saya sebak, kehidupan ini hanyalah sementara. Kita yang hidup kena teruskan perjuangan dan yang telah pergi kita doakan yang terbaik buat mereka,” kata Yusof atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Md. Haslam Khan penuh emosi.”

Ditemui media usai pengebumian Allahyarham Ridzuan di Tanah Perkuburan Islam Kariah, Dusun Tua, malam tadi, antara kualiti istimewa pada diri Allahyarham pada mata penerbit filem KL Gangster itu adalah disiplin yang sangat menepati masa.

“Komitmen dia dalam filem KL Gangster cukup bagus. Saya selalu melawat Syamsul ‘shooting’ dengan dia. Tengok cara dia bekerja.

“Dia berdisiplin dan menepati masa. Dia pernah berlakon drama bersiri Gerak Khas, telefilem yang saya terbitkan.

“Sebenarnya, kalau jadi nak buat KL Gangster 3. Kalau dia ada, memang dah rancang nak ambil dia (berlakon). Tapi, dah jadi lain. Dia pun sakit maka Allah pun lebih sayangkan dia,” ujarnya.”

Semalam, Allahyarham Ridzuan Hashim yang selama ini cukup terkenal dengan jolokan King hasil keberkesanan lakonan menerusi francais KL Gangster meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang bersarapan.

KOSMO! ONLINE