Home » Remaja tikam sepupu, tanam mayat tepi ladang jagung
Berita Am Berita Luar Negara

Remaja tikam sepupu, tanam mayat tepi ladang jagung

Kubur mayat mangsa ditutup menggunakan pokok jagung. – Sanook

BANGKOK – Seorang remaja menyerah diri kepada polis selepas membunuh sepupunya berhubung satu pertikaian sebelum menanam mayat mangsa di sebuah padang di Thailand, lapor laman berita Thaiger.

Anggota polis dari Balai Polis Laem Chabang dan unit penyelamat Sawang Prateep Sri Racha menemui mayat mangsa yang ditanam di sebuah padang berhampiran ladang jagung di wilayah Chon Buri semalam.

Siasatan bermula selepas Om-rup-tepe, 18, datang ke Balai Polis Laem Chabang untuk menyerah diri.

Remaja itu mengaku membunuh sepupu lelakinya, Yong, 35, selepas berbalah semasa mereka mabuk di sebuah kem pekerja dekat lokasi kejadian.

Selepas bertikam lidah, suspek mula bergaduh dengan sepupunya dan akhirnya menikam mati mangsa.

Dia kemudian menyeret mayat lelaki itu ke seberang jalan dan menanamnya. Suspek menutup kubur itu dengan menggunakan pokok jagung. 

Selepas pulang ke rumah dan tidur, dia berasa bersalah dan memilih untuk menyerah diri di Balai Polis Laem Chabang.

Pagi semalam, polis menghubungi saudara-mara mangsa dan mengiringi mereka ke lokasi mayat itu ditanam.

Memandangkan lokasi kejadian berada di bawah bidang kuasa Balai Polis Nong Kham, suspek diserahkan untuk siasatan lanjut dan berdepan tindakan undang-undang. – Agensi

K!ONLINE