Home » Keselamatan terjamin bolehkan nelayan cari rezeki: Kong
Berita Tempatan Politik

Keselamatan terjamin bolehkan nelayan cari rezeki: Kong

Kong yang juga Ketua Pergerakan Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku Sabah (StarSabah) mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya Polis Datuk Jauteh Dikun atas pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu

RANAU: Keselamatan yang terjamin di seluruh negeri selama ini membolehkan pelbagai lapisan masyarakat menjalani kehidupan seharian yang selesa sambil mencari rezeki termasuk mereka yang bekerja di laut seperti nelayan.


Pengerusi Perbadanan Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan), Kong Soon Choi berkata, nelayan sentiasa berasa selamat menjalankan aktiviti di sekitar laut atau sungai di perairan Sabah. Beliau menyifatkan adalah hasil kecekapan serta dedikasi seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertungkus-lumus dalam memastikan keselamatan negara.


“Tahniah kepada semua anggota polis. Sudah tentu dengan jaminan seperti ini dapat membantu memacu ke arah peningkatan ekonomi negeri dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya di sini, Rabu lalu.


Sementara itu Kong yang juga Ketua Pergerakan Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku Sabah (StarSabah) mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya Polis Datuk Jauteh Dikun atas pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu. Katanya, beliau bersama seluruh pucuk pimpinan dan anggota Exco Wiramuda parti berbangga dengan pelantikan anak jati Sabah menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.

“Kami yakin Jauteh anak kelahiran Ranau mampu menjalankan tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan cemerlang demi keselamatan negeri dan rakyat Sabah.


“Pihak kami juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM Sabah dalam memastikan keselamatan sejagat sentiasa terjamin demi kebaikan bersama serta keamanan dan keharmonian negara ini,” katanya.


Selasa lepas, Jauteh, 57, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah menerima pelantikan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Hj Abdullah Sani yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah. Beliau menggantikan Datuk Idris Abdullah yang bersara wajib pada 31 Mac lalu dan merupakan Pegawai Kanan Polis dari suku Dusun Ranau pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam Polis Kontinjen Sabah. Jauteh menyertai pasukan polis sebagai Asisten Supt pada 1994 dan seterusnya memegang beberapa jawatan tinggi di pelbagai jabatan seperti OCPD Kota Belud dari 1997 hingga 2001.


Beliau merupakan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah dari 2005 hingga 2008/2011 hingga 2012 dan; ketua unit jenayah insurans di Bukit Aman 2010-2011.

Pada 2012, beliau menjadi OCPD Kota Kinabalu berpangkat Asst Comm sebelum dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dari 2018 hingga 2021.
Beliau menjadi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dari 2021 hingga 2023.

— Clarence Dol