Home » The Last Red Hunter: Filem Tempatan Gabung Unsur Fantasi,Budaya & Sejarah
Berita Tempatan Hiburan

The Last Red Hunter: Filem Tempatan Gabung Unsur Fantasi,Budaya & Sejarah

JEFFREY dan Flora bersama barisan pelakon, kru dan promosi filem itu bergambar selepas sesi tayangan khas.

MENGGABUNGKAN unsur sejarah, budaya dan fantasi menjadi taruhan menerusi sebuah lagi filem tempatan, Tribesman – The Last Red Hunter.

Pengarah dan penulis skrip Flora Juanis Sallemuda berkata filem berkenaan pada awalnya ditulis berdasarkan kisah hidup pahlawan Murut, Antenom atau nama sebenarnya Ontoros Buyusan.

“Untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan kisah benar, kita perlu menjalankan banyak kajian yang boleh memakan masa sehingga bertahun-tahun. Namun, apabila kami buat kajian, sebaliknya lebih banyak persoalan yang timbul.

“Akhirnya, saya dapat idea untuk menggabungkan elemen epik atau fantasi di mana saya bebas bermain dengan imaginasi saya menerusi filem ini. Oleh itu, saya tidak perlu terlalu terikat dengan fakta sejarah mahu pun unsur kebudayaan yang ditampilkan dalam filem ini. 

FILEM Tribesman – The Last Red Hunter ditayangkan di pawagam bermula 25 Mei ini.

“Bagaimanapun, kami tetap meletakkan nama Ontoros dalam filem ini kerana kami mahu penonton mengenali nama pahlawan ini dan bahawa dia memang wujud sejak dulu lagi,” katanya pada sidang media selepas sesi tayangan khas filem Tribesman – The Last Red Hunter di City Mall, Kota Kinabalu pada Rabu.

Sesi berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Tribesman – The Last Red Hunter, terbitan FTV Productions Sdn Bhd, merupakan filem epik pertama Sabah dalam Kadazandusun dan Murut yang bakal menembusi pawagam pada 25 Mei ini.

Selain Flora, filem Tribesman – The Last Red Hunter turut mendapat sentuhan Khalid Sulaiman dan Rashid Abu Bakar selaku pengarah.

Flora berkata pembikinan filem Tribesman – The Last Red Hunter memakan kos kira-kira RM600,000 dengan sebahagiannya adalah menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas).

Filem yang mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan ini memaparkan keindahan dan keunikan lokasi penggambaran, antaranya, kawasan tarikan pelancong popular Kampung Budaya Mari-Mari di Inanam dan Papas Eco Camp Marahang di Kokol.

Malahan, filem ini turut menampilkan sentuhan kreativiti dan kesan sinematografi yang menarik gabungan dari tenaga kerja mahir dari semenanjung dan Sabah.

Tampil pelbagai budaya dan bahasa tempatanSelain itu, kata Flora, meskipun hampir keseluruhan filem menggunakan bahasa Kadazandusun dan Murut, dia turut menampilkan budaya dan bahasa tempatan lain seperti Rungus, Bajau dan Brunei.

“Saya cuba mengambil kira untuk menarik semua lapisan budaya dan bahasa di Sabah untuk diserap di dalam filem ini.

“Apabila filem Tribesman ini dibawa ke FilmMart di St. Monica, Amerika Syarikat pada tahun 2022, mereka (panel juri) memberitahu mereka tertarik dengan keunikan pelbagai suku kaum etnik di Sabah yang ditonjolkan,” katanya.

Tambahnya, pihak FTV Productions turut merancang untuk membawa filem Tribesman – The Last Red Hunter ke festival filem dalam dan luar negara bagi mendedahkan keunikan filem epik Borneo.

“Ini adalah antara sebab kenapa kami menggunakan tajuk berbahasa Inggeris kerana kebiasaannya untuk diterima di arena antrabangsa, kalau kita letakkan sesuatu tajuk yang mereka tidak faham, kadang kala ia menyukarkan kami untuk memasarkan filem kami di luar negara.

“Tribesman merujuk kepada Pasok Momogun dalam bahasa Dusun. Penggunaan tagline The Last Red Hunter adalah kerana kebanyakan kostum dalam filem ini ada warna kemerahan-merahan.

“Mungkin orang akan persoalkan kenapa Kadazandusun pakai baju merah. Apabila saya tulis skrip untuk filem ini, saya mahu tampilkan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan. Sebab itu, genre filem ini lebih kepada fantasi,” katanya.

Sokong ekosistem industri hiburan SabahSementara itu, Jeffrey berkata Kerajaan Negeri sentiasa mahu menjadi sebahagian daripada ekosistem industri hiburan di Sabah.

Tambahnya, Kerajaan Negeri menggalakkan pemain-pemain dalam industri khususnya, dalam perfileman tempatan menerusi pengiktirafan seperti anugerah serta menyediakan beberapa fasiliti berkaitan untuk mereka.

“Bagaimanapun, pemain industri perlu terlebih dahulu bersatu dan ‘organize’ (tersusun) seperti dengan membentuk persatuan untuk memudahkan kerajaan mendengar suara mereka.

“Dan apabila pemain-pemain industri mula lebih tersusun dan terdapat tanda-tanda kebolehpasaran dan kejayaan, maka kerajaan akan datang menyokong.

“Sudah tentu, kita (kerajaan negeri) sekarang pun memberikan sokongannya kepada industri, tetapi apabila industri lebih terpusat, maka sokongan juga akan bertambah,” katanya pada sidang media sama.

Mengenai Tribesman – The Last Red Hunter, beliau memuji filem berkenaan dan menyifatkannya “menyeronokkan dan menarik”

“Selain daripada elemen sejarah dan budaya tempatan yang dipamerkan, saya cukup tertarik dengan unsur ‘humor’ (jenaka) yang dimasukkan dalam filem ini.

“Justeru itu, saya harap filem ini akan mendapat sambutan dan diterima ramai. Apabila sesebuah filem berjaya ke pawagam, ia adalah satu pencapaian yang patut dibanggakan.

“Ini adalah bukti bahawa rakyat Sabah mempunyai keupayaan untuk menghasilkan filem. Saya harap lebih ramai bakat kita tampil dengan filem-filem seperti ini dan ditayangkan di pawagam,” katanya yang turut berterima kasih atas usaha Finas menyokong pembikin filem Sabah menerusi pemberian dana seperti DKD.

Filem yang menggandingkan Syed Ali Tar Mohd dan Larry Noh Di Kanju selaku bintang utama ini mengisahkan tentang seorang pemuda, bernama Azhar, secara misteri menyedari dirinya berada di alam yang begitu asing baginya dan dia disangka pembawa malapelataka dan ditangkap.

Penampilan Azhar sebagai orang masa sekarang secara misteri hadir dalam kalangan orang-orang asli mengundang pelbagai spekulasi dan konflik termasuklah menerima ugutan bunuh dan kecemburuan Antura.

Naskhah ini turut dijayakan pelakon tempatan Sabah, antaranya, Amy Vanyca, Tati Eliana, Tabias John, Johnny Damianus, Johari Abdullah, Marwan Mahmood dan Panus Munsoi.

Tribesman – The Last Red Hunter akan ditayangkan di pawagam terpilih di Sabah, Labuan, Sarawak, Kuala Lumpur dan Brunei Darussalam bermula 25 Mei ini.

— Kazalinah Kamaludin