Home » Warga MDB digesa kekal prestasi tinggi
Berita Tempatan Politik

Warga MDB digesa kekal prestasi tinggi

ISNIN (tengah) menyampaikan anugerah kepada salah seorang warga MBD di majlis itu.

BEAUFORT: Kakitangan Majlis Daerah Beaufort (MDB) perlu terus mengekalkan prestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan inklusif yang menjadi teras utama dalam pentadbiran kerajaan yang unggul.

Pembantu Menteri 1 Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KTP), Datuk Isnin Aliasnih berkata, ia penting bagi memastikan MDB mampu menangani cabaran urbanisasi dengan lebih berkesan.


“Pada masa sama, ia mampu menjadikan MDB sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang maju dan mampan sejajar dengan aspirasi nasional khususnya rakyat di kawasan ini.


“Justeru, perkhidmatan terbaik, berintegriti dan inklusif harus dikekalkan di kalangan kakitangan MDB yang turut memainkan peranan besar dalam pelan pembangunan negara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Aidilfitri dan Anugerah Cemerlang MDB yag diadakan di Dewan Pa’ Musa, di sini pada Khamis.

Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun dan Pegawai Eksekutif MDP, Mohd Ainol Mohd Dun. Isnin yang juga Adun Klias berkata, anugerah kecemerlangan itu adalah satu pengiktirafan kepada warga MDB, sekali gus sebagai pendorong supaya terus mengekalkan komitmen jitu.


Katanya, pengiktirafan ini juga dapat wujudkan persaingan sihat dalam kalangan warga MDB untuk membuktikan keupayaan masing-masing dalam menghasilkan perkhidmatan yang terbaik.


“Pemberian anugerah ini juga sebagai langkah membudayakan kecemerlangan dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan MDB.


“Justeru, warga MDB diharap terus menunjukkan prestasi kerja berkualiti dan sentiasa menambahbaik mutu perkhidmatan,” katanya.

— Iskandar Dzulkifli