Home » Fadillah adakan lawatan kerja di Sabah
Berita Tempatan Politik

Fadillah adakan lawatan kerja di Sabah

KENANGAN: Fadillah (empat kanan) merakamkan gambar kenangan ketika berada di Majlis Apresiasi LKM 2023, hari ini.

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Haji Yusof mengadakan lawatan kerja rasmi di Sabah, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Perladangan dan Komoditi, beliau akan mengadakan lawatan ke Lembaga Koko Malaysia, di sini.


Beliau juga akan menghadiri Majlis Apresiasi Lembaga Koko Malaysia (LKM) 2023 dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Seramai 36 orang kakitangan dari pejabat wilayah pantai barat Sabah LKM, menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khidmat Bakti dan bakal pesara tahun 2023 dan 2024 diberikan penghargaan.

 
Fadillah turut menyaksikan pelancaran Pelan Anti rasuah Organisasi LKM dan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara LKM dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).


Kerjasama strategik dengan ANGKASA akan menyediakan keperluan seperti mengenal pasti koperasi dan mengerakkan model latihan bagi menyokong aktiviti koperasi kluster koko. 


Kerjasama ini telah bermula pada tahun 2021, apabila pihak ANGKASA telah memberikan dana sebanyak RM150,000 untuk pembinaan dua mini pemprosesan koko di Sabah dan satu di Sarawak yang telah siap pada tahun 2022. Kini ia telah diguna pakai oleh petani koko.


Fadillah turut diberi taklimat mengenai status industri koko. Pada tahun 2022, koko menyumbang sebanyak RM7.82 bilion perolehan eksport negara iaitu meningkat berbanding RM6.87 bilion pada tahun 2021. 


Pada tahun ini, sasaran perolehan eksport adalah RM 8 bilion. Bagi pasaran domestik, seramai 242 usahawan telah mendaftar sebagai usahawan bimbingan LKM. 


Pada tahun 2022 jumlah pengeluaran adalah sebanyak 103 tan produk coklat bernilai RM6.8 juta.


Di sektor huluan koko, LKM mengalakkan pengeluaran biji koko premium dan tunggal asli yang dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding biji koko pukal.


Aktiviti pembangunan dan peningkatan pendapatan petani disokong oleh aktiviti koperasi kluster koko di tiga wilayah iaitu di Sarawak, Sabah dan Semenanjung. 


Kluster koko menjalankan perniagaan di sepanjang rantaian koko daripada bahan mentah kepada juadah dan keuntungan akan diagihkan kepada anggota yang kebanyakannya adalah petani koko.


Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Siti Aminah Aching, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan), Abdul Hadi Omar, Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia, Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM, Dr. Ramle Kasin.

— Yap Siong Han