KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Hisham Ahmad Tajudin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.30 petang tadi di Hospital Shah Alam (HSA).
Allahyarham meninggal dunia pada usia 76 tahun akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Memetik laporan portal Berita Harian, anak Allahyarham Hisham, Aqeela, 26, berkata, bapanya yang ditidurkan di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), HSA sejak akhir bulan lalu, menghembuskan nafas terakhir di hadapan anggota keluarga.
“Abah saya, Hisham Ahmad Tajudin kembali menemui Sang Pencipta pada waktu Asar tadi, jam 4.30 petang.
“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, abah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Ia kemudian merebak ke organ lain sehingga tidak berfungsi.
“Abah dikhabarkan teruk sejak malam tadi, di mana hospital hubungi saya memberitahu abah sudah tenat.
“Jadi, kami sekeluarga, berada di sisi Abah sejak malam tadi sehingga Asar.
“Abah meninggal di hadapan saya, suami saya dan ibu,” kata Aqeela dipetik sebagai berkata.
Pada masa ini, pihak keluarga, kata Aqeela, masih belum dapat berkongsi maklumat pengebumian Allahyarham kerana pihak hospital masih lagi menguruskan jenazah bapanya.
“Saya sedang menunggu pasukan forensik membuat laporan. Biar pihak hospital uruskan dahulu,” katanya.
Seniman itu dimasukkan ke hospital pada 29 September lalu selepas mengalami batuk teruk yang berpanjangan.
Allahyarham juga ditidurkan dan bergantung sepenuhnya pada mesin sokongan berikutan tidak boleh bernafas secara normal.
Allahyarham Hisham merupakan antara pelakon tanah air yang sangat dihormati.
Sepanjang terlibat dalam dunia lakonan, Allahyarham membintangi banyak filem antaranya filem Tsu-Feh Sofiah pada 1986, Perempuan (1988) selain drama-drama popular seperti Dalam Hati Ada Cinta (2004), Dalam Hati Ada Cinta 2 (2005) dan Tok Ayah (2014).
— AWANI
Add Comment