Home » Usaha pembentukan Borneo Blok perlu diperkasakan – SEEDS
Berita Tempatan Politik

Usaha pembentukan Borneo Blok perlu diperkasakan – SEEDS

TERIMA KASIH: Juliah (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dari Anak Rumah Yatim Tuaran, turut kelihatan Azhar (tengah).

KOTA KINABALU: Usaha pembentukan Borneo Blok yang melibatkan kerajaan Sabah dan Sarawak perlu diperkasakan bagi membolehkan pelbagai manfaat dinikmati rakyat di kedua wilayah terbabit.


Pengerusi Society Empowerment and Economic Development of Sabah (SEEDS) Datuk Azhar Khan Badil Zaman berkata, perjuangan Borneo Blok perlu diteruskan untuk membolehkan kemudahan infrastruktur asas di Sabah khususnya dapat diperkasa.


“Kemudahan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air sangat penting kepada rakyat. Ia juga adalah keperluan asas negeri untuk menarik pelaburan.


“Sekiranya, Borneo Blok dapat diperkasakan, sudah pasti kerajaan Pusat mampu memberikan peruntukan yang lebih banyak untuk tujuan pembangunan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri SEEDS 2023 di sini hari ini.


Beliau berkata, Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam penubuhan Kerajaan Pusat pada hari ini.
Oleh itu katanya, pencapaian Borneo Blok satu perkara penting agar Sabah dan Sarawak akan menerima layanan yang lebih sama rata dengan Semenanjung Malaysia.


“Keperluan di kedua-dua negeri ini hanya boleh dilihat oleh rakyat di Sabah dan Sarawak, khususnya kita orang Sabah, kita lebih tahu apa yang kita perlukan untuk negeri ini,” katanya.


Hadir sama dalam majlis itu ialah isteri kepada Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.
Turut diraikan adalah penghuni dari Anak Rumah Yatim Tuaran serta ahli-ahli keluarga Persatuan Cina Muslim (MACMA) Sabah.

Turut diraikan adalah penghuni dari Anak Rumah Yatim Tuaran serta ahli-ahli keluarga Persatuan Cina Muslim (MACMA) Sabah.

— Yap Siong Han