Home » Christina sahkan Sabah bentang RUU anti lompat parti
Berita Tempatan Politik

Christina sahkan Sabah bentang RUU anti lompat parti

CENDERA KENANGAN: Christina (tengah) menerima gambar Borneo peacock pheasant daripada Presiden Sabah Birdwatchers Association, Ron Pudin.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dijangka akan membentangkan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan minggu depan.  


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, gabungan Pakatan Harapan Sabah menyokong RUU anti lompat parti itu dilaksanakan di Sabah.


“Saya mengesahkan bahawa RUU anti lompat parti yang telah lama ditunggu-tunggu ini akan dibentangkan pada sidang DUN nanti.


“Pemahaman saya kerajaan negeri akan membentangkan RUU tersebut dan Pakatan Harapan Sabah akan menyokongnya,” katanya.


Beliau yang juga Ketua Pakatan Harapan Sabah berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Speaker DUN Datuk Kadzim M Yahya baru-baru ini yang mengatakan RUU itu bukan dalam agenda sidang DUN akan datang.


Katanya, Ketua Menteri telah menyebut perkara ini dan mungkin ada kekeliruaan, namun ia pasti akan dibentangkan nanti.  


Terdahulu, pada Selasa, Kadzim berkata kerajaan Sabah telah merancang untuk membentangkan RUU itu tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada ia akan dibentangkan dalam persidangan pada 22-25 Mei nanti, kerana ia bukan dalam agenda mereka.


Sebelum ini, Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal telah mengemukakan rang undang-undang persendirian untuk mendesak RUU anti lompat parti pada sesi akan datang.


Bagaimanapun, Kadzim berkata memandangkan kerajaan merancang untuk membentangkannya, rang undang-undang persendirian Shafie tidak diperlukan.

— Hamzah Sanudin