Home » Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah serah lima unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya
Berita Tempatan Politik

Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah serah lima unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya

Jahid (keenam dari kiri) mengabadikan kenangan bersama penerima Rumah Mesra SMJ dan yang lain pada majlis itu.

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) menyerahkan lima unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim, berkata lima buah rumah itu adalah sebahagian daripada 1,500 unit Rumah Mesra SMJ yang disasarkan untuk dibina pada tahun 2022.


Beliau berkata  KPLBS diberi tanggungjawab untuk menyelaras program Rumah Mesra SMJ dan seterusnya dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil.


“Pada tahun 2022, KPLBS menyasarkan membina sebanyak 1,500 unit Rumah Mesra SMJ dan diagihkan sebanyak 20 unit kepada setiap DUN.

“Bagi DUN Tamparuli, Pejabat Daerah Kecil selesai membina lima unit Rumah Mesra SMJ iaitu di Kampung Kelian, Kampung Sri Seberang, Kampung Tambalugu, Kampung Pengesaan dan Kampung Dansangai.


“Baki 15 unit lagi akan dilaksanakan tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Mesra SMJ Peringkat DUN Tamparuli di Kampung Kelian, Tamparuli di sini, pada Khamis.


Menurut beliau, penerima Rumah Mesra SMJ yang dipilih adalah terdiri daripada penerima tersenarai dalam sistem e-kasih iaitu memiliki rumah daif, golongan kurang upaya (OKU) atau mengalami bencana sama ada kebakaran, banjir dan bencana alam lain.


“Saya berharap, inisiatif atau bantuan yang dilaksanakan  oleh pihak kerajaan mampu membantu masyarakat luar bandar hidup dalam keadaan lebih selesa dan meningkatkan taraf hidup mereka”.


“Semoga pemberian ini memberikan sinar kebahagiaan kepada semua terutamanya kepada penerima Rumah Mesra SMJ,” tambahnya.


Rumah Mesra SMJ dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada September, tahun lalu dan merupakan inisiatif baharu di bawah teras modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Hala Tuju SMJ bagi memastikan rakyat memiliki rumah sendiri.


Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Danin; Timbalan Setiausaha Tetap KPLBS I, Aftar Nurajat; Timbalan Setiausaha Tetap KPLBS II, Norsafi Dukah; Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging.

— R Gonzales