Home » Peranan wanita dalam pembangunan negara perlu diiktiraf – Nizam
Berita Tempatan Politik

Peranan wanita dalam pembangunan negara perlu diiktiraf – Nizam

RASMI: Nizam merasmikan majlis tersebut menerusi aplikasi zoom selepas tidak dapat hadir kerana mempunyai tugasan di Kota Kinabalu.

TAWAU: Wanita perlu dihargai kerana peranan mereka sangat penting dalam kehidupan seharian khususnya bagi pembangunan negara, institusi keluarga dan perpaduan masyarakat.


Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, wanita sememangnya terbukti mampu memacu kepakaran dalam pelbagai bidang yang diperlukan negara.


Katanya, penglibatan kaum wanita ke arah memperkasakan diri mereka dalam konteks kemajuan sosio-ekonomi di peringkat tempatan dan antarabangsa telah membantu kerajaan membangunkan negara.


“Semangat perjuangan wanita mendepani pelbagai cabaran sejak dahulu lagi telah diterjemahkan oleh pelbagai rumpun bangsa di dunia.


“Saya berharap kaum wanita di negeri ini terus berperanan secara aktif menggembleng potensi diri bagi manfaat keluarga, masyarakat dan pembangunan negara keseluruhannya,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Tawau, di sini hari ini.


Menurutnya, ‘Kasih Wanita’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita tahun ini seiring dengan konsep Malaysia Madani yang dibawa oleh kerajaan.


“Konsep ‘Kasih’ ini menterjemahkan Malaysia Madani dengan membawa nilai kasih sayang, akhlak mulia, sihat, ilmu dan harmoni untuk melahirkan rakyat yang maju,” katanya.


Katanya, cabaran-cabaran baharu yang bakal muncul pada masa hadapan, akan menguji kecekalan dan ketabahan golongan ini dalam memartabatkan kedudukannya melalui agenda pemerkasaan wanita.


“Bagi merealisasikan segala impian dan cita-cita, bukanlah satu perkara yang mudah kerana wanita harus cekal dan berani dalam mendepani pelbagai cabaran luar biasa.


“Justeru, para wanita perlu sentiasa peka dengan sebarang perubahan kerana jika leka, maka kita akan jauh ketinggalan dengan yang lain,” katanya.


Dalam pada itu, Nizam berkata, layanan terhadap kaum wanita semestinya adil dan tidak boleh ada diskriminasi terhadap mereka.


“Wanita sudah menunjukkan bukti, bahawa banyak kejayaan dan keberhasilan yang mereka lakukan dalam pelbagai bidang di negara ini.


“Harapan saya sangat menggunung untuk melihat lebih ramai kepemimpinan wanita dalam politik dan pelbagai peringkat lain khususnya sektor korporat,” katanya.


Majlis yang dianjurkan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Tawau itu telah menghimpunkan sebanyak 15 kumpulan selawat wanita di daerah ini.

— Hamzah Sanudin