Home » UiTM diharap teruskan program-program bermanfaat kepada masyarakat
Berita Tempatan

UiTM diharap teruskan program-program bermanfaat kepada masyarakat

Dr. Mohd. Arifin merasmikan Ekspo Selangkah Ke UiTM 2023 Peringkat UiTM Cawangan Sabah yang diadakan di 1Borneo Hypermall, di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berharap Universiti Teknologi MARA (UiTM)  dapat meneruskan program-program yang bermanfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata, UiTM berperanan penting dalam meluaskan akses pendidikan tinggi dan pembinaan negara dengan menyerlahkan potensi, membentuk masa hadapan.

Katanya, UiTM merupakan salah sebuah Universiti Pilihan Majikan dalam Indeks Kebolehpasaran Graduan Kebangsaaan 2023. 

Pengiktirafan serta pencapaian ini menjadi kekuatan serta komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang serba lengkap bagi memenuhi keperluan dan harapan pasaran kerja, tambahnya.

Mengucapkan tahniah kepada UiTM dan warganya, Dr. Mohd. Arifin berkata, UiTM sering dilihat sebagai institusi pendidikan tinggi yang sentiasa menyumbang serta menyokong usaha pihak Kementeriannya melalui banyak program yang telah dijalankan sebelum ini.

“Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan KSTI yang telah dimeterai pada tahun lepas merupakan contoh kerjasama dalam melaksanakan dialog antarabangsa bersama Persatuan Pendidikan dan Kebudayaan Asia China (ACEC) selain menghubungkan rakan strategik dalam dan luar negara mereka kepada KSTI.

“Pelbagai program lain yang telah dijalankan oleh UiTM bersama syarikat industri seperti Petronas, Maybank, TikTok juga dilihat memberikan peluang pekerjaan, pendedahan kemahiran sains dan digital teknologi kepada mahasiswa serta komuniti setempat

“Saya berharap agar UiTM dapat meneruskan program-program seperti ini yang bermanfaat kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Ekspo Selangkah Ke UiTM 2023 Peringkat UiTM Cawangan Sabah yang diadakan di 1Borneo Hypermall, di sini hari ini.

Ekspo tersebut turut meraikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UiTM Cawangan Sabah yang mana ia ditubuhkan sejak tahun 1973.

Pembukaan kampus UiTM Cawangan Sabah bermula hasil usaha serta kerjasama dan bantuan daripada Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah. 

Pada awal penubuhannya ia dikenali sebagai (Yayasan Sabah – Institut Teknologi MARA / YS-ITM) dan terletak di Kampus sementara di Jalan Mat Salleh, Sembulan, Kota Kinabalu.

“UiTM kini ialah universiti komprehensif terbesar di Malaysia yang menawarkan lebih daripada 500 program akademik dari peringkat Asasi sehingga peringkat Sarjana dan PhD, serta Program Professional,” kata Dr. Mohd. Arifin.

wartaoriental