Ewon (tiga dari kanan) mengetuai para pemimpin lain melakukan upacara simbolik menuai padi ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang hari ini.
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Pembangunan Penampang yang kini sedang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) akan menjadi input kerajaan untuk merancang pembangunan di kawasan itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, Penampang perlu mempunyai satu pelan pembangunan yang tersusun dan diiktiraf sebagai satu dokumen kerajaan.
“Saya telah berbincang dengan Pegawai Daerah Penampang dan Wakil Rakyat Kapayan serta ketua-ketua jabatan di Penampang, kita setuju memulakan Pelan Pembangunan Penampang ini yang telah pun bermula sejak April lalu.
“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, jaminan saya ialah akan terus bekerja keras ‘membubut’ peruntukan pembangunan di kawasan ini.
“Dengan adanya dokumen Pelan Pembangunan Penampang yang diiktiraf oleh kerajaan, mudah bagi kita menjadikan dokumen tersebut sebagai rujukan untuk Rancangan Pembangunan Malaysia dan Rancangan Pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, di Dewan Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.
Ewon berkata, perancangan untuk membangunkan Penampang sebagai daerah Keusahawanan Berasaskan Digital juga akan dimasukkan dalam pelan pembangunan tersebut.
“Di peringkat Persekutuan, penyediaan perbelanjaan tahun 2024 sudah pun bermula pada April lalu. Sudah tentu dengan adanya pelan pembangunan ini akan memudahkan saya sebagai Menteri dan Wakil Rakyat Penampang memasukkan keperluan pembangunan keusahawanan Penampang dalam Rancangan Pembangunan Kementerian,” katanya.
Beliau berharap dengan kerjasama dan sokongan semua pihak Penampang akan menjadi sebuah daerah pesat membangun pada masa akan datang.
“Penampang satu daerah yang berpotensi untuk dibangunkan tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti isu banjir, capaian internet, keperluan usahawan dan banyak lagi.
“Mudah-mudahan, suatu hari nanti, kita semua berbangga daerah Penampang satu daerah yang selamat dan pesat membangun,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Noraini Idris dan Senator Datuk John Ambrose, Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta para pemimpin setempat.
Sementara itu, Ewon berkata, Pesta Kaaamatan adalah platform terbaik mempromosi produk-produk tempatan selain memupuk perpaduan kaum.
Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan dan peniaga kecil-kecilan merebut peluang itu untuk menjana pendapatan tambahan.
“Antara produk tempatan yang dijual semasa sambutan pesta kaamatan ialah kraftangan, pakaian tradisional, makanan dan minuman tradisional.
“Saya juga berharap agar peniaga kecil-kecilan yang mengusahakan produk-produk tempatan seperti makanan tradisional supaya mempertingkatkan kualiti dari segi pembungkusan bagi melariskan lagi produk berkenaan.
“Kementerian saya melalui agensi-agensi menawarkan pelbagai skim pembiayaan yang boleh dipohon oleh usahawan untuk membantu mereka meningkatkan kualiti pembungkusan produk,” katanya.
Pelbagai acara menarik diadakan sempena sambutan itu antaranya pertandingan masakah tradisi, pertandingan mangagung, pertandingan sumazau dan pertandingan sulap tercantik melibatkan tujuh mukim kawasan Penampang.
Selain itu turut diadakan Sukan Tradisi seperti Momolostik (Melastik), Monopuk (Menyumpit), Monungkava Kalabau (Menangkap Kerbau), Mipulos (Gusti Tangan) dan Migazat Dukug (Tarik Tali).
Acara kemuncak ialah pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan. Pemenang akan mewakili daerah itu ke pertandingan akhir peringat negeri di KDCA Penampang, pada 30 dan 31 Mei ini.
Add Comment