Home » Michelle Yeoh terima pengiktirafan, terima anugerah khas di Cannes
Berita Am Berita Dalam Negara Hiburan

Michelle Yeoh terima pengiktirafan, terima anugerah khas di Cannes

Yeoh dianugerahkan dengan anugerah khas Kering’s Women in Motion Award. – Foto/Vianney Le Caer/Invision/AP

CANNES: Bintang Everything Everywhere All At Once yang juga pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh terus menerima pengiktirafan, kali ini di Festival Filem Cannes apabila dia dianugerahkan dengan anugerah khas Kering’s Women in Motion Award.

Yeoh, yang turut memenangi Anugerah Golden Globe dan SAG tahun ini, menerima tepukan gemuruh tetamu termasuk Leonardo DiCaprio, Isabelle Hupert, Rebel Wilson, Alfonso Cuaron, Salma Hayek, presiden juri Ruben Östlund, ahli juri Paul Dano dan Brie Larson, Presiden Festival de Cannes Iris Knobloch, dan Pengarah Festival Cannes, Thierry Frémaux.

“Sudah terlalu lama kami sebagai wanita terpaksa berada di belakang dan tidak dimasukkan sebagai topik perbincangan. Kami sering diberitahu pintu untuk kami sudah ditutup. 

“Virginia Woolf pernah berkata, ‘tidak ada pintu pagar, tiada kunci, tiada bolt (besi halangan) yang boleh anda pasangkan pada kebebasan fikiran saya.’ Idea kami (wanita) tidak berkesudahan. Semangat kami tidak terhingga. Dan kami datang untuk mengetuk pintu itu,” kata Yeoh dalam ucapan.

Yeoh seterusnya menyebut beberapa watak ikonik yang pernah dipegangnya, “yang kuat, berkebolehan dan tidak takut untuk membela diri sendiri,” termasuk Wai Lin dari Tomorrow Never Dies, Yu Shu Lien dari Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Evelyn Wang dari Everything Everywhere All At Once.

“Mereka telah mengajar saya banyak perkara tentang bagaimana saya ingin bergerak dalam dunia, iaitu dengan integriti, dengan kekuatan dan lebih penting, kasih sayang,” katanya.

Penerima anugerah itu sebelum ini termasuklah Viola Davis, Jane Fonda, Geena Davis, Susan Sarandon, Isabelle Huppert, Patty Jenkins, Gong Li dan Salma Hayek.

AWANI