KOTA KINABALU: Langkah penstrukturan semula barisan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) adalah bagi mencapai sasaran tadbir urus korporat yang baik khususnya melibatkan prestasi setiap anak syarikat di bawah QSB.
Pengerusi Kumpulan Qhazanah Sabah Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, rombakan semula anak-anak syarikat QSB bertujuan memaksimumkan prestasi dengan menerapkan amalan tadbir urus yang baik dalam operasi.
Katanya, usaha itu mampu membawa kepada pelaksanaan projek yang proaktif melibatkan pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu.
Menurutnya, penstrukturan semula itu juga membawa kepada hala tuju baharu dan setiap Ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan tahu rancangan yang perlu dibuat untuk syarikat.
“Kita mahu letakkan QSB sebagai antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyumbang kepada pembangunan Sabah termasuk dengan meneroka bidang baharu.
“Justeru, apa sahaja yang dilakukan pihak syarikat mesti ada idea baharu dan hala tuju kepada pembangunan Sabah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, setiap pengerusi bagi anak-anak syarikat QSB perlu faham dan tahu pendekatan terbaik yang diperlukan QSB dalam usaha pembangunan.
Yusof berkata, antara sektor yang boleh diteroka melalui anak syarikat QSB termasuk sektor kesihatan, tenaga lestari dan telekomunikasi dengan mengutamakan aspek tadbir urus melalui penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU), penempatan Pegawai Integriti dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) di QSB dan penubuhan Unit Polisi dan Pematuhan.
Katanya, QSB perlu memperkasakan pembangunan khususnya projek berkaitan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) iaitu solar dan hidro.
Namun pihaknya juga tidak mengabaikan pelaburan dalam projek janakuasa tenaga konvensional berdasarkan keperluan tenaga yang mendesak dalam tempoh terdekat.
“QSB mahu memperkasakan penglibatan dalam sektor kesihatan sama ada perkhidmatan atau sokongan melalui anak syarikat WH Medicare Sdn Bhd.
“Selain itu, kita juga akan memperkasakan pembangunan infrastruktur digital di Sabah melalui program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan oleh Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB).
“Antara anak syarikat QSB yang berpotensi dalam melaksanakan pembangunan di Sabah termasuklah Koridor Utiliti Sabah Sdn Bhd, Angkatan Hebat Sdn Bhd, Qhazanah Resources Sdn Bhd, Sabah Marketing Corporation Sdn Bhd (anak syarikat Kojasa Holding Berhad), WH Medicare Sdn Bhd, WH Cekal Bersepadu Sdn Bhd, Berjaya Qhazanah Sabah Sdn Bhd, Berjaya Qhazanah Sdn Bhd, Yayasan Qhazanah Sabah, WHSB Energy Ventures Sdn Bhd, serta Qhazanah Technology Sdn Bhd,” jelasnya.
Menurutnya, tumpuan kepada aspek keuntungan juga perlu diberi perhatian dan semua Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi QSB perlu bekerjasama mencapai matlamat yang sama iaitu membawa keuntungan kepada syarikat.
Katanya, keuntungan akan dinikmati oleh kerajaan negeri melalui peningkatan pulangan dividen dan manfaat-manfaat sosio ekonomi kepada masyarakat dan seluruh warga syarikat.
“Dengan adanya perpaduan berlandaskan matlamat yang jelas yang diselarikan dengan sifat ketelusan, saya percaya QSB dapat merealisasikan objektif syarikat menjadi salah satu pemacu utama dalam mengembangkan bukan sahaja ekonomi dan sosial, tapi juga melahirkan individu dengan mentaliti kelas pertama,” katanya.
Beliau berharap mampu menjalankan tanggungjawab dengan telus untuk menambah nilai kepada fungsi syarikat pelaburan strategik milik kerajaan negeri yang menyumbang aktif kepada hasil Sabah.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment