Home » Penjelasan Pendirian Malaysia Terhadap Tindakan Oleh Pihak Yang Mendakwa Waris Kesultanan Sulu
Berita Tempatan

Penjelasan Pendirian Malaysia Terhadap Tindakan Oleh Pihak Yang Mendakwa Waris Kesultanan Sulu

Tuntutan oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu ini merupakan suatu provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Putrajaya, 13 Oktober 2022 – Kenyataan ini bertujuan untuk menjelaskan dan menerangkan dengan lebih lanjut jawapan balas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar di Parlimen Malaysia pada 6 Oktober 2022 kepada soalan yang dikemukakan oleh YB Chan Foong Hin, Ahli Parlimen Kota Kinabalu berhubung isu pertikaian
timbang tara antara pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu serta Kerajaan Malaysia.

“Sebagai penjelasan kepada jawapan saya mengenai persoalan sama ada Sabah berkemungkinan menjadi sebahagian daripada Filipina
susulan keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris, ingin saya tegaskan bahawa situasi ini tidak akan berlaku. Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah
Malaysia,” ujar Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi.

Keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris telah diserahkan oleh Penimbang Tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 yang
bertujuan untuk mengisytiharkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu dengan tuntutan berjumlah USD14.92 bilion.

“Apabila saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk
kepada tuntutan yang yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu) dan bukan tuntutan oleh Kerajaan Filipina.”


“Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tidak ada kena mengena
dengan soal kedaulatan, kenyataan tersebut adalah merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah – sama ada wujud kemungkinan Sabah
diserahkan kepada Filipina,” tegas beliau.

Tuntutan oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu ini merupakan suatu provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta
kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.


Pada masa ini, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa
persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara. Proses tersebut bukan sahaja disalahguna tetapi ia juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment