Home » Mesyuarat tertinggi Kerajaan Persekutuan, Sabah esok cari jalan penyelesaian isu air, jalan raya – Anwar
Berita Tempatan Politik

Mesyuarat tertinggi Kerajaan Persekutuan, Sabah esok cari jalan penyelesaian isu air, jalan raya – Anwar

Dalam ucapan Anwar, beliau singgung hasrat Kerajaan Perpaduan dalam menjadikan Sabah negeri yang unggul dan hebat dalam pelbagai bidang tapi tetap mengakar budaya dan tradisi turun-temurun.

Penampang : Satu mesyuarat tertinggi peringkat Persekutuan dan Sabah akan diadakan bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu air dan jalan raya yang dihadapi rakyat di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu yang dihadapi rakyat termasuk kemudahan kesihatan, prasarana dan pelbagai isu lain perlu diselesaikan dengan baik.

“Tentang isu lain, isu pembangunan, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan, prasarana asas, api, air dan jalan-jalan ianya perlu diselesaikan dengan baik, tidak cukup dengan kekuatan negeri tetapi harus dibantu Kerajaan Persekutuan.

“Antara isu itu, isu besar adalah isu air dan isu jalan.  Maka saya telah beri keputusan, esok pagi InsyaAllah saya akan adakan mesyuarat tertinggi peringkat Persekutuan dan negeri untuk menyelesaikan masalah air bersama Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kadazandusun Sabah (KDCA) di sini hari ini.

Majlis Penutupan Pesta Kaamatan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.

Anwar berkata, peruntukkan bagi memperbaiki jalan raya di negeri ini turut disalurkan baru-baru ini dan ianya dipertingkatkan selain merupakan yang tertinggi untuk Sabah.

“Kita juga telah minta tindakan segera pembinaan Pan Borneo yang perlu diselesaikan segera, selain itu jalan-jalan yang rosak juga kita telah minta tindakan segera untuk diperbaiki.

“Saya juga ingin beri jaminan bahawa, Kerajaan Perpaduan kita bertekad untuk selesaikan masalah ini dalam kadar segera,” katanya. 

— TAMAT