KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sebuah premis yang dijadikan pusat penyimpanan, pelihara dan jualan haiwan (ayam/itik) hidup dikendalikan oleh warga asing dari Myanmar pada Khamis.
Penguatkuasaan dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar menerusi Operasi Tindakan Khas Premis Perniagaan sekitar Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Selayang dekat sini.
Unit media DBKL berkata, premis berkenaan didapati telah menimbulkan kacau ganggu awam melibatkan isu kekotoran, halangan laluan dan bau busuk sekitar kawasan berhampiran.
Menurutnya, dua notis dikeluarkan selain tindakan penutupan premis turut dijalankan dalam operasi berkenaan.
“DBKL mengeluarkan satu Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan satu notis kompaun warga asing mengendalikan premis tanpa kebenaran mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
“DBKL turut membuat tindakan penutupan serta merta (sealed) terhadap premis berkenaan melalui Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Jumaat.
DBKL berkata, sitaan barang perniagaan di premis berkenaan turut dilaksanakan dan menghantar ke Setor Sitaan DBKL untuk proses dokumentasi lanjut.
Dalam pada itu pada Isnin lalu, DBKL turut menjalankan operasi di lokasi sama membabitkan aduan awam berhubung seekor kambing dipelihara di dalam premis.
DBKL memaklumkan, siasatan mendapati laporan diterima adalah benar dan tindakan lanjut telah dipanjangkan kepada Unit Kawalan Pest.
“Hasil lawatan dan pemeriksaan susulan pada Selasa mendapati tiada lagi kambing di premis tersebut.
“Bagaimanapun terdapat ayam dan itik hidup di premis terbabitt sehingga menimbulkan kacau ganggu bau busuk.
“Susulan itu, satu notis telah dikeluarkan dan disusuli ops sitaan dijalankan dengan swpukuh ekor ayam dan tujuh itik dirampas,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata, adalah menjadi kesalahan memelihara haiwan hidup di dalam premis di bawah Akta Kerajaan Tempatan kerana boleh menyebabkan kacau ganggu.
Justeru, DBKL mengingatkan semua pemilik premis perniagaan sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen perniagaan yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kacau ganggu di tempat awam.
Add Comment